Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memuji aksi yang ditampilkan oleh barisan pemainnya yang berjaya menyerap tekanan untuk mara ke perlawanan akhir 48th King’s Cup 2022.

Baca Juga:

Selepas beraksi baik pada separuh masa pertama dengan tekanan hebat diberikan kepada Thailand, 45 minit seterusnya memperlihatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi cukup sibuk bersama-sama pemain pertahanan untuk mengekang asakan bertali-arus tuan rumah.

Disiplin tinggi dipamerkan itu membolehkan skuad negara mencatatkan kemenangan 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas aksi sebenar 90 minit permainan terikat dengan 1-1.

Sehubungan dengan kemaraan ke final itu, Pan-gon jelas berbangga dengan persembahan anak buahnya meskipun sedar tekanan yang dihadapi pada perlawanan tersebut.

“Pertama sekali, terima kasih yang tak terhingga kepada semua pemain skuad kebangsaan Malaysia, Harimau Malaya. Mereka telah memberikan 100 peratus komitmen mereka pada malam ini untuk berjuang demi nama Malaysia.”

Gol yang dihasilkan oleh Corbin-Ong pada minit ke-32 permainan. Kredit Foto: Changsuek

“Kami bermain di gelanggang lawan. Boleh dilihat begitu ramai penyokong di sini [Stadium 700th Anniversary of Chiang Mai],” ujar Pan-gon bercakap dalam sidang media selepas perlawanan malam tadi.

“Secara mental dan fizikalnya kami memang berada didalam tekanan tetapi kesemua pemain kami telah melakukan tugasan dengan cukup hebat. Kami berjaya mengatasi semua ini.”

“Ia merupakan persembahan dan mentaliti yang hebat kerana ini adalah satu perlawanan yang sukar tetapi ia telah berjaya. Akhirnya kami berjaya mendapatkan keputusan yang baik.”

“Ini semua datangnya [hasil usaha] daripada para pemain. Terima kasih diucapkan kepada pemain Harimau Malaya,” tambah Kim Pan-gon lagi.

Seperti diketahui, lawan skuad negara pada aksi final yang berlangsung pada 9.30 malam Ahad nanti ialah Tajikistan.

Sementara itu pada hari yang sama, Thailand terlebih dahulu akan membuat perhitungan dengan Trinidad & Tobago untuk penentuan tempat ketiga dan keempat.