Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan memang menjadi impian beliau untuk memacu anak buahnya menjuarai saingan Piala AFF Mitsubishi Electric sejak mula membimbing pasukan pada Januari tahun lalu.

Baca Juga:

Impian tersebut semakin menyala untuk direalisasikan apabila Malaysia kini memegang kelebihan satu gol selepas kemenangan penting bertemu Thailand dicatatkan pada aksi separuh akhir pertama di Bukit Jalil tempoh hari.

Namun, pengendali kelahiran Korea Selatan itu menyedari hakikat bahawa tugas sukar bakal dihadapi anak buahnya di Stadium Thammasat, malam ini.

Selain daripada kemampuan pemain Thailand yang jelas amat berkualiti, skuad kendalian Mano Polking itu juga akan mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.

“Kami memiliki kelebihan yang baik, anda tahu, kami bermain sehari lebih lewat [berbanding Vietnam dan Indonesia]. Tetapi kami beraksi di gelanggang lawan.”

“Kami sangat menyedari keadaan tersebut, bermain di sini merupakan satu perkara yang amat sukar,” ujar Kim Pan-gon bercakap dalam sidang media semalam.

“Tetapi kami sudah bersedia mental dan fizikal serta persiapan rapi dalam aspek proses pemulihan pemain untuk menghadapi perlawanan malam esok [malam ini].”

“Kami semua sudah bersedia dan sangat yakin untuk bermain menentang Thailand. Kami pada ketika ini mempunyai keputusan yang baik untuk dibawa pulang.”

“Apabila saya bergelar jurulatih skuad Malaysia, ia menjadi salah satu daripada sasaran saya untuk menjadi juara Piala AFF untuk dihadiahkan kepada rakyat Malaysia.”

“Ia merupakan sasaran yang sangat penting buat saya. Jadi sekiranya kami berjaya layak ke final, ia akan menjadi satu penghargaan yang hebat buat saya untuk membuatkan penyokong Malaysia bangga,” tambah Kim Pan-gon lagi.