Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjadikan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 sebagai medan untuk memilih pemain yang akan dibawa bagi beraksi di temasya Piala Asia 2024 tahun hadapan.

Baca Juga:

Menurut Pan-gon, pemain yang dipanggil dalam senarai kali ini perlu membuktikan mereka layak untuk berada dalam skuad yang dibawa ke Qatar kelak.

“Jadi pentas ini (Pestabola Merdeka 2023) cukup penting bagi mereka (pemain). Jadi saya fikir bagi kami, kami tidak boleh melakukan banyak perubahan (ke atas pemain) kerana bagi saya, saya tidak bergantung hanya kepada satu aksi perlawanan, kerana kadang-kadang dalam satu atau dua perlawanan, prestasi pemain boleh menurun,” katanya.

Melihatkan kepada senarai barisan pemain, tiada perubahan yang begitu ketara dilakukan oleh Kim Pan-gon dimana dapat disaksikan barisan pemain seperti kebiasaan dipanggil.

Selain Suhaimi Husin (Terengganu) yang merupakan muka baharu, dua lagi posisi penjaga gol diisi oleh Ahmad Syihan Hazmi Mohammed (Johor Darul Ta’zim) dan Azri Ghani (KL City).

Manakala Dion Cools akan mengepalai jentera pertahanan bersama-sama La’vere Corbin-Ong, Matthew Davies (JDT), Sharul Nazeem Zulpakar, Quentin Cheng (Selangor), Dominic Tan, Daniel Ting (Sabah), Azam Azmi Murad (Terengganu) dan Junior Eldstal (Dewa United).

Posisi tengah pula menyaksikan Endrick Dos Santos (JDT), Brendan Gan, Mukhairi Ajmal (Selangor), Stuart Wilkin (Sabah), Paulo Josue (KL City) dan Nooa Laine (SJK Seinajoki) menjadi pilihan pengendali kelahiran Korea Selatan itu.

Manakala, jentera serangan juga memperlihatkan muka biasa seperti trio JDT iaitu Arif Aiman Mohd Hanapi, Safawi Rasid dan Akhyar Rashid bersama Faisal Abdul Halim (Selangor), Darren Lok (Sabah) serta dua pemain Sri Pahang, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan.

Rata-rata pemain yang dipanggil okeh Pan-gon pernah beraksi dalam beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa yang berlangsung sebelum ini.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2023 menentang India pada Jumaat, 13 Oktober 2023 dan seterusnya akan berdepan sama ada Palestin atau Tajikistan pada aksi final atau penentuan tempat ketiga pada Selasa, 17 Oktober 2023.