Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon berpuas hati dengan peningkatan yang ditampilkan oleh pasukan negara sejak beliau dilantik sebagai ketua jurulatih pada tahun lalu.
Baca Juga:
- Piala Asia 2024: Sasaran Layak Ke Pusingan 16 Pasukan Terakhir, Ini Komen Kim Pan-gon
- Kim Pan-gon Dedahkan Turkmenistan Mahu Balas Dendam Terhadap Malaysia
- TMJ Terima Mengadap Dato Hamidin Dan Kim Pan Gon
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Pan-gon mengakui tekanan merupakan cabaran terbesar apabila mengendalikan skuad Harimau Malaya namun beliau tetap berpuas hati dengan hasil yang diraih setakat ini.
“Sejak saya datang ke Malaysia, ada banyak tekanan khususnya selepas pasukan negara gagal melepasi saingan peringkat kumpulan Piala AFF Suzuki 2020. Saya membawa staf kejurulatihan saya dan mereka turut berdepan tekanan sejak hari pertama.
“Mereka telah bekerja keras, memenuhi kehendak saya serta memastikan pasukan ini bermain dengan cara yang sesuai. Kini, kami bermain dengan agresif dan mampu untuk menguasai permainan. Fokus utama ialah memberi tekanan awal dan menyerang secara cepat. Saya gembira pemain dapat menyesuaikan diri dengan corak ini,” kata Kim Pan-gon.
Sejak mengambil alih dari Tan Cheng Hoe, Pan-gon berjaya membimbing pasukan negara mara ke Piala Asia 2024, separuh akhir saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022, tempat kedua kejohanan King’s Cup dan juga meningkatkan kedudukan di ranking FIFA dari 154 ke 145.
Dalam masa yang sama, jurulatih berusia 53 tahun itu turut menegaskan pasukannya akan mencuba sedaya upaya untuk melepasi saingan peringkat kumpulan sekaligus mara ke peringkat 16 pasukan terakhir temasya Piala Asia 2024.
“Itu akan menjadi perkara yang bagus sekiranya Malaysia menduduki 16 pasukan terbaik di Asia. Kita perlu berusaha untuk melangkah ke arah itu. Tetapi, dalam jangka masa yang pendek, sekiranya kita letakkan terlalu banyak sasaran, ianya tidak bagus. Pemain dan jurulatih akan berasa letih.
“Kami akan cuba sedaya-upaya untuk mara ke peringkat 16 pasukan terakhir. Itu akan menjadi satu perkara indah dan rakyat Malaysia juga akan berbangga dengan pencapaian itu. Kami akan cuba,” katanya.