Hanya satu sahaja menjadi matlamat penyerang baharu Kedah Darul Aman KDA FC, Syafiq Ahmad iaitu segera mendapatkan momentum serta keyakinan pada musim 2022.
Bagi penyerang berusia 26 tahun ini, dia tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang buat pasukan dengan meletakkan sasaran angka jaringan tertentu.
Dalam masa sama, Syafiq akui tidak dapat menyembunyikan kegembiraan kerana dapat bermain semula dengan bekas pasukan yang telah ditinggalkan pada empat tahun lalu.
“ Sememangnya saya bersyukur kerana dapat kembali ke Kedah malah dengan kesungguhan ditunjukkan pengurusan, itu juga menjadi faktor saya kembali ke sini dan rasa gembira kerana masih ada orang berminat dengan khidmat saya.
“ Dalam masa sama, saya mahu mahu beri penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang sudi beri perkenan untuk saya ke Kedah selain serta berikan sokongan dari belakang tidak kira apa jua situasi saya.
“ Penyokong-penyokong Kedah juga memberikan banyak kata positif terhadap kehadiran semula di Kedah dan itu menjadi penambah motivasi buat saya.
“ Mengenai angka jaringan, saya tidak mahu bercakap apa-apa mengenainya kerana masih terlalu awal tetapi apa paling penting sebaik bersama Kedah, saya mahu kembali dapatkan momentum.
“ Saya mahu mengembalikan keyakinan dalam diri ini serta rentak yang dimahukan, itu perkara yang menjadi keutamaan apabila saya bersama Kedah, ” katanya.
Memulakan karier di peringkat remaja bersama Kedah sejak tahun 2012, dia mula diserapkan dalam pasukan senior pada musim 2015 sehingga 2017 sebelum berhijrah ke JDT.
Pada musim 2022, Syafiq kembali ke skuad Hijau Kuning dengan status pemain pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan misi utama bersama Kedah adalah di pentas Piala AFC selain pemburuan kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia.
“ Harapan saya dengan pasukan adalah mahu mencabar apa jua kejuaraan yang kita boleh berikan saingan pada musim depan namun apa paling penting ialah Piala AFC.
“ Saya mahu membantu Kedah layak ke peringkat seterusnya di Piala AFC serta melangkah sejauh yang boleh kerana ini menjadi keutamaan buat saya sertai Kedah.
“ Selain itu di Liga Super atau Piala Malaysia, kami akan cuba mendapatkan kejuaraan serta bagi saingan kepada semua pasukan.
“ Biarpun kali ini mungkin tidak ramai lagi pemain Kedah yang saya pernah bersama dahulu seperti Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali namun kualiti Kedah tidak pernah hilang.
“ Kedah dari dahulu hingga sekarang sentiasa dibarisi pemain-pemain yang punyai skil yang baik biarpun pemain bersilih ganti di dalam pasukan, ” kata Syafiq Ahmad.