Penghijrahan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz yang berkelana ke Vietnam untuk bersama Hanoi Police FC (Cong An Ha Noi) nampaknya membuahkan hasil apabila kelab tersebut telah dinobatkan selaku juara saingan V.League 1 2023.

Baca Juga:

Keputusan seri 1-1 yang dicatatkan ketika bertemu Dong A Thanh Hoa FC di laman sendiri itu sudah cukup untuk menghadiahkan kejuaraan kedua buat kelab tersebut berdasarkan kelebihan perbezaan jaringan meskipun terikat 38 mata bersama pencabar terdekat, Hanoi FC.

Lebih manis untuk diperkatakan, Cong An Ha Noi baharu sahaja dinaikkan pangkat ke saingan V.League 1 pada musim ini selepas muncul juara V.League 2 musim 2022.

Antara pemain bintang Vietnam yang menggalas tanggungjawab bersama kelab tersebut ialah Nguyen Quang Hai dan Doan Van Hau.

Azmin Azram
Kredit Foto: Công An Hà Nội FC

“Tidak pernah terlintas di fikiran saya pasukan kami akan menjadi juara bagi saingan V.League 1,” ujar Azmin dalam hantaran di laman Facebook peribadi miliknya.

“Syukur Alhamdulillah telah mengurniakan rezeki dan pencapaian tertinggi ini buat saya sebagai jurulatih pasukan CAHN FC (merujuk kepada Cong An Ha Noi) di Vietnam.”

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada Effendi Jagan Abdullah & Mashiedee Sulaiman yang telah membantu saya selama ini dalam kerjaya baharu saya di sini.”

“Semoga Allah memberkati anda berdua,” tambah Azmin lagi menghargai dua individu tersebut.

Azmin Azram yang sebelum ini pernah melatih penjaga gol skuad senior kebangsaan serta bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selama lima tahun telah menyertai Cong An Ha Noi pada awal musim 2023.