Jaringan penalti pada lewat permainan meleburkan hasrat skuad negara untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata selepas tunduk 1-2 di tangan Bahrain pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kekalahan ini nyata pahit untuk ditelan barisan pemain negara yang nyata mempamerkan aksi bertenaga sepanjang perlawanan berdepan lawan di tangga ke-89 ranking dunia itu.
Masih segar dengan kemenangan pada perlawanan sulung minggu lalu, Kim Pan-gon membuat perubahan apabila hanya mengekalkan Farizal Marlias, Matthew Davies, Mohamed Syamer Kutty Abba, Dion Cools, Corbin-Ong dan Darren Lok di kesebelasan utama.
Pertukaran yang dilakukan itu bagaimanapun tidak langsung mengganggu rentak para pemain negara yang kelihatan cukup bernafsu untuk memberikan tekanan hebat kepada skuad kendalian Helio Felipe Sousa itu terutamanya pada babak pertama.
Ia jelas dibuktikan apabila skuad negara memberikan ancaman ke kubu Bahrain yang dikawal penjaga gol, Sayed Mohamed Abbas seawal minit keempat menerusi percubaan jarak jauh Nazmi Faiz Mansor.
Seminit kemudian, giliran Junior Eldstal pula mendapat peluang terbaik selepas beliau menerima umpanan kemas daripada Ahmad Khuzaimi Piee yang melepasi pertahanan lawan. Namun, kuisan lambung dilakukan pemain yang beraksi di posisi pertahanan tengah itu dalam kawasan penalti dinafikan Sayed Mohammed.
Beraksi di padang becak akibat hujan lebat yang turun pada sebelah petang jelas membuatkan Bahrain begitu bergelut untuk mempamerkan corak permainan tersusun seperti kebiasaan.
Kesempatan itu digunakan sepenuhnya skuad negara untuk mencipta beberapa peluang terbaik bagi mendapatkan jaringan pendahuluan, namun Sayed Mohammed cukup kental bertahan bagi mengelakkan gawangnya daripada dibolosi.
Mendapat tonik berguna di bilik persalinan, Bahrain tampil lebih tersusun pada awal babak kedua dengan memberikan ancaman buat skuad negara.
Keadaan itu bagaimanapun tidak menghalang skuad negara untuk mengintai beberapa peluang terbaik dan akhirnya berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-55 menerusi Mohamadou Sumareh.
Berpunca daripada serangan balas pantas dimulakan Muhammad Akhyar Rashid, beliau kemudiannya melorongkan bola kepada Khuzaimi di sebelah kanan yang melakukan hantaran lintang ke dalam kawasan penalti.
Sumareh yang bijak melakukan larian di belakang pertahanan lawan tidak mensia-siakan peluang terhidang untuk menolak masuk bola bagi meletakkan Malaysia di hadapan.
Kegembiraan itu bagaimanapun hanya mampu bertahan selama dua minit selepas hantaran jauh Mahdi Faisal Alhumaidan mencari Hashim Sayed Isa dan beliau mengumpan bola buat Ali Abdula Haram yang tidak dikawal pertahanan bagi kembali menyamakan kedudukan.
Malang menimpa skuad negara apabila Bahrain dihadiahkan sepakan penalti susulan kekasaran dilakukan Farizal Marlias terhadap Ali Jaafar Madan ketika situasi kelam-kabut di hadapan gawangnya.
Penyerang gantian, Abdulla Yusuf Helal yang mengambil sepakan tersebut pada minit ke-81 tidak berdepan masalah untuk menambah jaringan kedua Bahrain.
Kedudukan itu kekal hingga tamat permainan untuk Bahrain melonjak ke tangga teratas dengan enam mata manakala skuad negara di kedudukan kedua berikutan kelebihan perbezaan jaringan berbanding Turkmenistan.