Hasrat Thailand untuk mengutip 3 mata penuh pada perlawanan pembukaan saingan Kelayakan Piala Asia B-23 semalam tidak menjadi kenyataan apabila mereka terikat 1-1 dengan tuan rumah, Mongolia.
Skuad kendalian Woorawut Srimaka itu terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui Jakkit Palapon pada minit ke 11 namun kelekaan benteng pertahanan mengundang padah apabila pemain tengah Mongolia, Baljinnyam Batbold menyamakan kedudukan melalui rembatan dari kotak penalti pada minit ke 76.
Bagaimanapun, kapten pasukan, Thanawat Suengchitthawon menyifatkan keadaan padang tiruan di Stadium MFF, Ulaabaantar itu telah memberi kesukaran kepada mereka untuk mempamerkan aksi yang lebih baik kerana lantunan bola bergerak dengan lebih laju.
“Dari segi keadaan padang, saya rasa padang latihan jauh lebih baik daripada padang perlawanan.
“Bermain bola di atas padang tiruan sangat sukar. Tetapi Mongolia juga bermain di padang yang sama dan mereka mengamalkan corak permainan ‘long ball’ untuk perangkap kami,” kata Thanawat dalam kenyataan rasmi di laman facebook changsuek.
Thailand dijadualkan menentang Laos pada 28 Oktober ini. Kemenangan sangat penting untuk mencerahkan peluang mereka layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 di Uzbekistan pada tahun depan.
Jika Thailand mencatat keputusan seri, Malaysia mempunyai peluang cerah untuk muncul sebagai juara kumpulan dengan syarat mengutip 3 mata ketika menentang Mongolia.
“Kami tidak mahu memikirkan keputusan perlawanan lain. Saya dan rakan sepasukan akan beraksi lebih baik dalam baki perlawanan akan datang. Kami perlu cuba untuk terus menang.
“Kami tidak akan membuka ruang kepada lawan untuk melakukan serangan. Kami perlu mengekalkan prestasi terbaik dan memperbaiki segala kelemahan yang ada,” jelas Thanawat.
Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan negara melalui pautan dibawah.
Luqman Hakim: “Sebagai Striker, Mesti Orang Target Punya. Saya Kena Bijak Dan Jangan Ambil Mudah.”
FAM Tegaskan Tiada Campur Tangan Dalam Pemilihan Pemain Naturalisasi