Hasrat penyokong Selangor untuk berkunjung ke Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 yang melibatkan pasukan mereka menentang Kuching City esok tidak menjadi kenyataan apabila pihak penganjur tidak membenarkan kemasukan penonton.
Menurut kenyataan rasmi, perlawanan tersebut terpaksa berlangsung tanpa kehadiran penonton kerana kekurangan anggota petugas untuk memastikan setiap penyokong yang hadir mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.
“Kuching City FC ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami dan penyokong Selangor FC kerana tidak dapat membenarkan kehadiran penonton ke stadium untuk perlawanan esok.
“Pihak kami tidak mahu mengambil risiko memandangkan kami kekurangan anggota petugas untuk hari perlawanan. Kekurangan petugas akan menyukarkan kami untuk memastikan semua penonton dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan MFL dan MKN,” tulis kenyataan rasmi.
Perlawanan Tanpa Penonton
Pihak Kuching City FC ingin memohon maaf kepada semua penyokong kami dan penyokong Selangor FC kerana tidak dapat membenarkan kehadiran penonton ke stadium untuk perlawanan esok. pic.twitter.com/iwBrzLWu79
— Kuching City F.C. (@OfficialKCFC) November 2, 2021
Situasi itu telah mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Mereka menyifatkan Kuching City gagal mengambil kesempatan untuk menjana pendapatan tambahan melalui kutipan tiket bagi menampung kewangan kelab.
Pada 30 September lalu, Malaysia Football League (MFL) mengumumkan semua penyokong dibenarkan memasuki stadium bermula dengan perlawanan minggu ketiga TM Piala Malaysia pada 29 Oktober 2021.
Keputusan itu dibuat susulan pengumuman oleh Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang membenarkan kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di negeri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.
Tempoh rehat selama 4 minggu digunakan MFL untuk memperincikan SOP kemasukan penyokong ke stadium bersama MKN dan KKM selain pasukan-pasukan diberikan masa untuk membuat persiapan di venue pertandingan sebelum menerima kehadiran penyokong.
Sepatutnya selama tempoh rehat tersebut, Kuching City sudah cukup bersedia dari segi anggota petugas untuk menerima kehadiran semua penyokong termasuk peminat setia yang tiba jauh dari Sarawak.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.
Piala Malaysia 2021: Dollah Nampak Kelebihan Malik Mat Ariff Sebagai Seorang Penyerang Sejati
Piala Malaysia 2021: PJ City Sedia Tumbangkan Kelantan Di Kota Bharu
Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia