Bekas penyerang skuad B-17 Tahun Jepun, Keito Nakamura semakin hampir untuk beraksi dalam saingan Eredivisie bagi saingan musim 2019/2020 apabila FC Twente sudah berada dalam fasa terakhir untuk melengkapkan proses perpindahan pemain tersebut.
Sebelumnya, kelab terkini Keito, Gamba Osaka telah menerima beberapa tawaran daripada kelab Eredivisie yang lain seperti FC Groningen serta kelab yang beraksi dalam saingan Jupiler League Pro Belgium, SV Zulte Waregem. Namun, Twente dilihat telah berjaya memenangi perlumbaan antara ketiga-tiga kelab dan semakin hampir untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 18 tahun itu.
Keito mencuri perhatian beberapa kelab Eropah apabila menampilkan prestasi cemerlang dimana beliau menjaringkan empat gol ketika temasya Piala Dunia B-17 Tahun pada 2017 lalu. Catatan tersebut lebih baik daripada pemain sayap England, Jadon Sancho dan anak kepada bekas pemain AC Milan dan Paris Saint-Germain, George Weah iaitu Timothy Weah dimana masing-masing pemain hanya menjaringkan 3 gol.
Setelah membantu skuad Jepun B-17 Tahun dalam temasya Piala Dunia, Keito memilih untuk menyertai Gamba Osaka sebagai kelab profesional pertama beliau. Bagi musim 2019, Keito beraksi bersama skuad Gamba Osaka B-23 tahun di J3 League dan beliau menampilkan aksi yang memberangsangkan apabila menyumbangkan 7 gol setakat ini.
Jika Keito Nakamura menandatangani kontrak bersama FC Twente, beliau akan menyertai seorang lagi pemain Jepun, Yuta Nakayama yang beraksi bersama PEC Zwolle. Terdahulu, pemain Jepun yang lain seperti Ritsu Doan, Ryo Miyaichi, Maya Yoshida dan Keisuke Honda pernah mewarnai saingan Eredivisie.