Baru-baru ini, timbul khabar angin mengenai kelewatan Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) melunaskan baki tunggakan gaji kepada 12 bekas pemain yang dilepaskan pada bulan November lepas.
Setiausaha Eksekutif PBSNT, Mohd Syahrizan Mohd Zain hari ini menjelaskan bayaran tunggakan yang diperuntukkan untuk bekas pemain Terengganu FC (TFC) tersebut bukan gaji namun sejumlah bentuk bayaran yang dipersetujui diluar kontrak mereka.
Menurutnya, TFC tiada masalah berkenaan gaji pemain-pemain sehingga bulan terakhir musim 2019 apabila dibayar secara konsisten.
“TFC telah menjelaskan bayaran tersebut hampir 40% – 50% sebagaimana persetujuan dibuat ketika pemain berkhidmat bersama TFC. Seterusnya baki tersebut dimaklumkan kepada pemain-pemain akan dijelaskan pada November 2019 sebelum tamatnya kontrak pemain-pemain tersebut.
“Komitmen tersebut dibuat setelah pihak Malaysia Football League (MFL) memaklumkan bahawa baki hak penyiaran dan pendapatan kepada pasukan sebagai rakan kongsi akan dibayar pada November 2019.
“Jumlah baki sebanyak 50% dari MFL tersebut amat mencukupi untuk menyelesaikan tunggakan bayaran pemain-pemain tersebut dan mampu digunakan untuk persiapan pasukan musim 2020,” katanya.
Namun begitu, MFL mengumumkan bayaran kedua hak penyiaran tidak dapat diagihkan menyebabkan PBSNT terpaksa menangguhkan hasrat untuk melangsaikan hutang tertunggak kepada bekas pemain.
“Baki dari MFL tersebut tidak dapat dijelaskan sebagaimana dimaklumkan menyebabkan komitmen dengan pemain-pemain terpaksa ditangguhkan sementara sehingga bayaran MFL tersebut dilakukan.
“Mengambil inisiatif dan tanggungjawab dengan komitmen yang telah dimaklumkan kepada pemain, TFC telah membuat bayaran terlebih dahulu sebanyak 25% kepada pemain-pemain yang tidak dilanjutkan kontrak melalui dana yang masih ada di dalam akaun TFC.
“Namun begitu, akhirnya baki bayaran 50% hak penyiaran dan pendapatan diputuskan tidak akan dibayar setelah keputusan tersebut dibuat di dalam Mesyuarat Luar Biasa Rakan Kongsi Liga pada 14 Disember 2019 yang melibatkan 12 pasukan Liga Super dan 12 pasukan Liga Premeir.
“TFC tidak menjangkakan hal tersebut sebegitu serius sehingga ianya tidak dapat dilunaskan dari perkongsian tersebut. Melalui mesyuarat tersebut, semua rakan kongsi telah diperjelaskan secara terperinci senario dan kedudukan kewangan MFL sebagai badan penganjur Liga Malaysia.
“Justeru itu, ianya menjadi satu kesulitan kepada TFC apabila dana tersebut telah dibuat perancangan awal termasuklah menyelesaikan tunggakan bayaran bekas-bekas pemain. Agak sukar untuk menerima keputusan tersebut, namun hakikatnya terpaksa kita terima bahawa baki hak penyiaran dan pendapatan tersebut tidak dapat dijelaskan,” katanya.
Syahrizan turut memberi jaminan bahawa PBSNT akan cuba melangsaikan tunggakan bayaran itu dan meminta mereka bersabar.
” TFC telah memaklumkan keadaan sebenar situasi yang berlaku serta meminta mereka bersabar dan memberi sedikit masa untuk mencari kaedah penyelesaian dengan harapan mereka memahami dan memberikan pertimbangan. TFC memberi jaminan bahawa tunggakan bayaran 40%-50% yang berbaki akan diselesaikan dan akan dilunaskan, InsyaAllah,” tambahnya.
Lagi artikel menarik mengenai perkembangan Liga Malaysia musim 2020 melalui pautan dibawah.
Harimau Yang Tidur Kini Sudah Bangun, JDT Bakal Buat Pengumuman Besar Pada 20 Disember