Pemilik kelab bola sepak Kedah Darul Aman (KDA FC), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mengesahkan beliau mempunyai perancangan dalam memastikan skuad Kenari mempunyai fasiliti yang lengkap untuk menjalani latihan.
Baca Juga:
- RASMI: Bekas Tonggak Tok Gajah, Manuel Hidalgo Kini Milik Kedah Darul Aman
- Bakal Berwajah Baharu, Kedah Lepaskan Semua Pemain Import
- RASMI: Nafuzi Zain Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Kedah Darul Aman
Menurut kenyataannya di laman facebook, musim ini pihaknya akan menjadikan Suka Menanti sebagai lokasi hub sukan yang menempatkan pejabat jurulatih, padang latihan, pusat fisioterapi serta gimnasium.
Jelas Daud, beliau menyedari pasukan Kedah masih belum mempunyai fasiliti yang lengkap selepas melihat sendiri kemudahan serba moden dalam lawatan rasmi ke kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Lawatan ini banyak memberi pengajaran dan lebih penting lagi cara fikir. Sebuah pasukan bola sepak mesti memiliki prasarana asas. KDA FC belum memiliki apa2 prasarana asas. Mulai musim ini, KDA FC akan mempunyai sebuah hub sukan di Suka Menanti dengan bajet sederhana.
“Hub ini akan ada pejabat kejurulatihan, gym, fisio dan tempat lepak para pemain. Satu permulaan yang ‘humble’. Setiap suatu yang besar dan signifikan semuanya bermula dengan satu langkah kecil. Adik beradik Wright mula dengan minda fizik penerbangan yang humble tetapi menjadi pencetus industri penerbangan,” tulisnya.
Malah, Daud juga mendedahkan pihaknya dalam proses mendapatkan sewaan jangka panjang untuk padang latihan dan telah mengenalpasti beberapa lokasi di Alor Star.
“Berkenaan padang untuk latihan, mulai awal tahun 2023, KDA FC dalam proses untuk mendapat sewaan jangka panjang menjadi hak kegunaan secara ekslusif.
“InsyaAllah, KDA FC akan terus meninjau potensi pemilikan atau paling kurang penyewaan padang latihan untuk kesemua pasukan Sang Kenari. Saya secara peribadi telah ronda-ronda beberapa lokasi di Alor Star baru-baru ini,” tambahnya.
Selain itu, Daud juga kagum dengan apa yang terdapat di JDT dan berharap aspek sains sukan diterapkan dalam pasukan Kedah.
“Aspek yang jelas nampak di sini adalah penekanan kepada sains & perubatan sukan. Setiap pemain ada profiling masing-masing seperti Berat badan, Diet, Kecergasan, Kecederaan.
“Saya lupa nak cerita sebuah momen. Sewaktu saya masuk dalam gim, ada seorang pemain ‘star’ sedang berlatih berseorangan. Beliau datang lebih awal.
“Self esteem & positive attitude make a person a star,” saran pegawai kanan JDT.
Saya amat bersetuju dengan kenyataan ini,” ujarnya.