Delegasi Rangkaian Global LaLiga di Malaysia, Giorgio Pompili Rossi optimis pengenalan kawalan ekonomi dalam Liga Malaysia bermula musim depan adalah formula terbaik dalam usaha menangani masalah hutang pasukan bertanding.
Keyakinan Rossi itu hadir selepas La Liga telah berjaya menyelesaikan masalah hutang membabitkan tunggakan gaji bagi tempoh lima tahun sejak peraturan ekonomi dipratikkan dalam liga Sepanyol itu.
Justeru, beliau percaya Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah memulakan langkah amat positif dengan memperkenalkan peraturan kawalan ekonomi selain mendidik pasukan-pasukan Liga Malaysia berbelanja lebih berhemah.
Giorgio berkata: Ini adalah kejayaan untuk La Liga tetapi banyak persoalan yang saya terima tentang bagaimana ia diterima daripada kelab sebaik ia mula dilaksanakan?
“Bagaimana kelab bertindak balas terhadap peraturan kawalan ekonomi? Jawapannya mudah kerana kelab itu sendiri memerlukannya.
“Peraturan kawalan ekonomi adalah langkah yang terbaik dan ia bukan sesuatu yang kelab perlu mengeluh meskipun ia akan diperkenalkan dalam Liga Malaysia.
“Kelab-kelab harus menyesuaikan diri dengan peraturan baharu dan sekarang apabila anda berkata ia telah berjaya? Itu betul. Sesuatu perkara memerlukan masa untuk diteruskan dan melihat hasilnya tetapi sekarang kita dapat melihat La Liga mengetahui kelab-kelab secara kewangan lebih sihat dan terjamin di mana kita harus melihat kejayaan tersebut,” katanya.
Sementara itu, Rossi memuji pendekatan MFL yang turun ‘berguru’ di ibu pejabat La Liga di Sepanyol membuktikan pengendali Liga Malaysia itu sentiasa berusaha keras untuk memajukan liga tempatan di tahap lebih tinggi.
“MFL mahu menjadikan La Liga sebagai penanda aras dan sebaik mereka memutuskan untuk melaksanakan peraturan kawalan ekonomi, ia menjadi pilihan terbesar yang akan mereka lakukan.
“Matlamatnya adalah untuk membenarkan kelab untuk tidak menjana hutang tetapi dalam masa yang sama, anda boleh mula membuat pendapatan dan keuntungan sendiri,” katanya.
Sebagai rekod, LaLiga telah berjaya menghapuskan bebanan hutang pasukan-pasukan bertanding sebanyak €90 juta (RM420.34 juta) pada 2012 menjadi sifar pada tahun 2017.