Kapten skuad kebangsaan England, Harry Kane tampil mempertahankan rakan sepasukannya, Harry Maguire yang mendapat kecaman teruk para penyokong selepas aksi ditampilkannya ketika bertemu Jerman, semalam.

Maguire terus menjadi bahan jenaka banyak pihak selepas dua kesilapannya telah membuka ruang buat Jerman untuk mendapatkan jaringan menerusi sepakan penalti Ilkay Gundogan dan percubaan luar kawasan penalti daripada Kai Havertz pada aksi terakhir peringkat kumpulan kempen UEFA Nations League (UNL) di Wembley itu.

Keadaan tersebut turut menyebabkan pertahanan berusia 29 tahun itu memohon maaf kepada semua pihak di laman Instagram rasmi miliknya atas kesilapan dilakukan.

Walaupun terdapat peminat yang terus mengkritiknya di ruangan komen, Harry Kane melihat mereka akan terus bersatu hati sebagai satu pasukan dalam apa jua keadaan.

“Apa-apa sahaja kesilapan individu yang dilakukan, anda pasti akan kecewa. Tetapi kami adalah satu pasukan, kami akan sentiasa berada di belakang antara satu sama yang lain.”

“Mereka [pemain England] akan belajar daripada kesilapan dan memandang ke hadapan. Mereka memberikan sumbangan yang hebat setiap kali memakai jersi ini.”

“H [merujuk kepada Harry Maguire] mengalami kecederaan pada lewat permainan, di mana ketika lima, 10 minit dia hampir bermain dengan satu kaki.”

“Karakter yang cukup hebat ditampilkan olehnya, saya sangat berbangga dengannya dalam keadaan dia sebegitu,” ujar Harry Kane menurut sumber laporan Metro UK.

 

 

Sumber