Ketua jurulatih Papua New Guinea, Harrison Kamake mengakui anak buahnya kini lebih bersedia untuk menghadapi Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam esok.

Baca Juga:

Sedar cabaran sukar bakal dihadapi dengan beraksi di gelanggang lawan, Kamake meletakkan harapan tinghi terhadap anak buahnya untuk membuktikan sesuatu pada perlawanan tersebut.

Apatah lagi kunjungan mereka ke Asia Tenggara berada dalam mood terbaik selepas berjaya mengikat Singapura 2-2 pada aksi sebelum ini yang berlangsung 16 Jun lalu.

“Lagipun pasukan yang saya bawa kali ini lebih bersedia berbanding sebelum ini di mana mereka dibentuk sejak 2022 lagi, jadi kami harap mereka dapat memberikan sesuatu dalam perlawanan itu walaupun sedar ranking kami lebih rendah berbanding lawan.”

“Namun itu atas kertas, di padang adalah sebaliknya, jadi tunggu aksi kami nanti,” ujar Kamake menurut sumber laporan Berita Harian.

Berdasarkan rekod pertemuan sebelum ini, Papua New Guinea pernah menundukkan Malaysia 2-0 di Stadium Sir John Guise, Port Moresby yang mana ketika itu skuad Harimau Malaya dalam siri Jelajah Oceania pada Jun 2016.

Beberapa bulan kemudiannya, Malaysia yang ketika itu dibimbing Dato’ Dollah Salleh merakamkan kemenangan 2-1 di Stadium Shah Alam hasil jaringan Ahmad Hazwan Bakri dan Amri Yahyah untuk memadamkan kelebihan awal dimiliki pasukan pelawat menerusi Nigel Dabinyaba.

Dalam perkembangan sama, Kamake turut melihat ketua pasukan negara, Faisal Abdul Halim sebagai antara ancaman terbesar buat skuad kendaliannya.

Sumber