Pemain berdarah kacukan Malaysia-Jerman, Joshua Johan Bechler memasang impian untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan pada masa akan datang.
Perkara ini disuarakan oleh pemain yang ketika ini sedang beraksi bersama skuad B-17 Rot-Weiss Frankfurt yang mana beliau turut menjadi antara pemain remaja yang mendapat perhatian pemerhati bola sepak di Jerman.
Menurut laporan Utusan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengadakan satu pertemuan dengan Joshua baru-baru ini bagi membincangkan kemungkinan dia diserap ke dalam skuad B-19 tahun negara.
Ketika ditemubual oleh wartawan Bernama, Johan menyatakan beliau mempunyai impian untuk beraksi bersama skuad Harimau Malaya.
“Saya sentiasa memasang impian untuk mewakili Malaysia. Kami mempunyai keluarga Malaysia yang besar di Jerman dan mereka semua teruja melihat saya menyarung jersi Malaysia, bagaimanapun saya hanya mengikut kata hati saya.
“Mengetahui bahawa bola sepak Malaysia semakin baik, dan sekiranya saya menjadi satu daripada faktor peningkatan itu, ia amat membanggakan saya. Seperti remaja lain, saya juga ingin membantu meningkatkan mutu bola sepak negara,” katanya.
Adik kepada penjaga gol Johor Darul Ta’zim III, Julian Johan Bechler itu menambah beliau sentiasa mengikuti perkembangan skuad Harimau Malaya, selain menonton saingan Liga Malaysia.
Menurut Johan, Liga Malaysia dibarisi oleh ramai pemain berkualiti dan beliau kagum dengan kemampuan yang ditunjukkan oleh Safawi Rasid.
“Saya banyak mengetahui mengenai bola sepak Malaysia dari Selangor dan JDT. Saya juga menonton Liga Malaysia secara dalam talian. Saya turut memerhatikan banyak pemain berbakat seperti Safawi dan Sumareh. Sangat menarik, Malaysia sebenarnya mempunyai potensi besar,” tambahnya.
Mencipta nama dalam kancah Hessenliga B-17, satu daripada lima cabang Bundesliga 2 B-17, pertahanan kiri berusia 16 tahun itu yang digelar ‘Bolt’ kerana memiliki kepantasan luar biasa menjadi buruan di Jerman dengan lebih 10 kelab profesional dilapor berminat mendapatkan khidmatnya.
Selain itu, Julian pernah beraksi dengan beberapa skuad remaja kelab profesional di England – Brighton, Fulham, Leeds United dan Queen Park Rangers antara yang pernah menawarkannya peluang berlatih, selain menguji kemampuan bersama skuad remaja mereka.