Penyerang import Terengganu, Jordan Mintah menyertai juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim 2022.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Jordan menyertai Kuala Lumpur secara pinjaman sekaligus berpeluang untuk tampil dalam saingan Piala AFC yang akan bermula pada Jumaat ini.
Jordan Mintah sertai juara Piala Malaysia 2021! Difahamkan, penjaring terbanyak Liga Premier 2021 itu dilepaskan Terengganu FC II secara pinjaman ke Kuala Lumpur City FC. đŸ”¥
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) June 20, 2022
Masa depan Jordan bersama Terengganu menjadi persoalan selepas pemain itu menampilkan prestasi memberangsangkan dalam saingan Liga Premier sejak dua musim kebelakangan ini. Musim lalu, Jordan menjaringkan 16 gol sekaligus berkongsi carta penjaring terbanyak dengan penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) II, Fernando Rodriguez.
Sebelum ini, Jordan dikaitkan dengan kelab lain dari Lembah Klang iaitu Selangor dan ada beberapa keping gambar yang beredar di laman media sosial yang menunjukkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon menghubungi pemain kelahiran Ghana itu menerusi aplikasi Whatsapp.
Akan tetapi, Dr Johan Kamal kemudiannya menafikan beliau menghubungi Jordan dan menepis khabar angin yang mengatakan pihaknya mahu mendapatkan pemain itu tanpa sepengetahuan kelabnya iaitu Terengganu.
Standby đŸ¤ª pic.twitter.com/NKRTgqLaKw
— Amir Akhlam (@AmirAkhlam) May 31, 2022
Dr Johan turut menegaskan beliau akan membuat laporan polis kerana ada individu yang menggunakan namanya dengan tujuan memberi imej buruk kepada beliau dan juga pasukan Selangor.
Sehingga saat ini, masih belum ada sebarang pengesahan dari Kuala Lumpur City mengenai Jordan Mintah sama ada beliau akan menyertai pasukan atau sebaliknya.
Kuala Lumpur City akan membuka tirai kumpulan H saingan Piala AFC menentang kelab Liga 1 Indonesia, PSM Makassar pada 24 Jun ini dan kemudiannya akan turun menentang Tampines pada 30 Jun. Dengan hanya tiga pasukan dalam kumpulan H, peluang untuk KL City mara ke pusingan seterusnya nampak cerah memandangkan PSM dan Tampines tidak menampilkan prestasi terbaik mereka dalam saingan liga domestik masing-masing.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
Balachandran Dilantik Sebagai Ketua Jurulatih Baharu Sarawak United
Brendan Gan: Malam Penuh Makna Buat Saya Dapat Kembali Beraksi