Skuad bola sepak lelaki Jepun berjaya menewaskan Brazil 4-1 dalam kejohanan Sukan Universiade 2019 yang berlangsung di kota Naples semalam, seterusnya mengekalkan kejuaraan yang dirangkul pada edisi 2017 di Taipei.

Penyerang muda Jepun yang kini beraksi untuk skuad Hosei University, Ayase Ueda mencatatkan hatrik dalam perlawanan akhir, mengumpulkan 5 gol secara keseluruhan dalam edisi 2019 ini.

Jepun muncul juara buat kali pertama acara bola sepak dalam kejohanan Sukan Universiade ini pada edisi 1995 ketika diadakan di Fukuoka, Jepun. Kejayaan mereka mempertahankan kejuaraan pada 2019 ini juga bukan kali pertama dilakukan kerana mereka pernah mempertahankan kejuaraan acara bola sepak ini pada edisi 2001 dan 2003.

Dari senarai pemain skuad Universiade Jepun kali ini, dapat dikesan beberapa pemain yang sebenarnya akan menyertai beberapa buah kelab tersohor dalam saingan J1 League musim akan datang.

5d205cad-a700-43de-9eff-2a2fd3093d95

Salah seorang dari mereka adalah Ayase Ueda yang juga merupakan salah seorang pemain dalam skuad utama Jepun di kejohanan Copa America 2019. Beliau berjaya mengutip 3 penampilan dalam kejohanan itu sebelum menyertai skuad Universiade di Italy.

Penjaga gol mereka, Abe Koto juga baru sahaja menandatangani kontrak profesional bersama pasukan J1 League, Albirex Niigata pada bulan Jun yang lepas.

Sepanjang kejohanan Sukan Universiade 2019 ini, Jepun berjaya menewaskan;

  • Perlawanan pertama: Menang 3-0 keatas Argentina
  • Perlawanan kedua: Menang 4-1 keatas Russia
  • Suku Akhir: Menang 2-0 keatas Korea Selatan
  • Separuh Akhir: Seri 3-3 dengan Italy (Menang 5-4 menerusi penalti)
  • Perlawanan Akhir: Menewaskan Brazil 4-1

Jika diperhatikan dengan lebih menyeluruh, ini merupakan hasil tuaian dari liga bola sepak peringkat universiti yang digunakan sepenuhnya untuk membangunkan bakat-bakat.

Japanese University Football Association (JUFA) melalui cawangan mereka diseluruh negara Jepun sememangnya berjaya membuktikan kemampuan mereka sebagai salah satu saluran untuk menyalurkan bakat-bakat bola sepak bukan sahaja kepada skuad kelab malahan juga skuad kebangsaan.