Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin menggesa para pemain skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe yang akan turun beraksi menentang Indonesia, malam ini supaya tampil dengan lebih berani.
Malam ini mereka akan memulakan aksi sulung Pusingan 2 kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta dengan sepak mula perlawanan jam 7.30 malam ini waktu Indonesia (8.30 malam waktu Malaysia).
Dato’ Haji Hamidin turut berada di hotel penginapan pasukan untuk memberikan amanat dan kata-kata semangat kepada para pemain menjelang aksi malam ini.
“Semua pemain perlu berani. Main dengan penuh bersemangat dan berikan persembahan yang terbaik. Misi kita hanya satu iaitu untuk membawa pulang tiga mata penuh daripada perlawanan pertama Kumpulan G ini.
“Jangan gentar dengan penyokong tuan rumah. Kita tak perlu ada rasa takut kerana rekod kita di Gelora Bung Karno ini cukup baik. Kita pernah menjulang trofi Piala Suzuki AFF 2010 dan memenangi pingat emas Sukan SEA 2011 di stadium ini.
“Jadi mengapa tidak kita meneruskan rekod baik itu pada malam ini. Main sepenuh hati untuk rakyat Malaysia kerana setiap perlawanan dalam Kumpulan G ini kita anggap seperti perlawanan akhir bagi memastikan Malaysia dapat mengutip banyak mata untuk layak ke peringkat seterusnya,” kata Dato’ Haji Hamidin.
Turut sama pada sesi taklimat pagi tadi ialah Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan dan Dato Posa Majais selaku penolong pengurus pasukan.
Baca lebih lanjut untuk mengetahui barisan kemungkinan kedua-dua pasukan pada malam ini.
Ramalan Susunan Kesebelasan Utama Skuad Indonesia Dan Malaysia