Pemain kacukan Malaysia, Jaami Qureshi selesai menjalani pembedahan lutut bagi merawat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialaminya pada Disember tahun lalu.

Jaami memuat naik gambar di laman media sosial Instagram Story miliknya yang menunjukkan beliau baru sahaja menjalani pembedahan di lutut kirinya dan kini beliau fokus untuk menjalani sesi pemulihan.

“Gembira kerana pembedahan saya berjalan dengan lancar. Perjalanan panjang untuk sesi pemulihan, tetapi ini akan membuatkan saya lebih kuat berbanding sebelum ini. Terima kasih di atas semua mesej dan kata-kata semangat anda semua,” kata Jaami Qureshi.

Setakat ini, Jaami masih belum menyertai mana-mana pasukan selepas beliau dilepaskan oleh kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Brighton & Hove Albion pada penghujung musim 2021/2022.

Pemain yang ketika ini berstatus ejen bebas itu pernah menjalani sesi ujian bersama Derby County B-21 tahun dimana beliau diberikan peluang untuk beraksi selama lapan minit pada perlawanan menentang Sunderland B-21 yang menyaksikan beliau masuk pada separuh masa kedua.

Sebelum itu, pemain berusia 18 tahun itu turut menjalani dua sesi ujian bersama kelab yang dimiliki oleh jutawan Malaysia, Tan Sri Vincent Tan iaitu Cardiff City dan Queens Park Rangers (QPR) namun tiada sebarang kontrak yang berjaya dicapai oleh pemain dan kelab tersebut.

Ketika bersama Brighton, beliau membantu kelab itu menjuarai saingan Premier League Cup B-17 tahun selepas mengalahkan Middlesbrough di pentas akhir. Sepanjang saingan peringkat kumpulan dan kalah mati, Qureshi menyumbang satu gol iaitu pada perlawanan suku akhir menentang Southampton yang mana Brighton berjaya memenangi perlawanan dengan keputusan 6-1.

Meskipun cemerlang bersama Brighton, namun peluang Jaami untuk beraksi bersama Malaysia dilihat samar setelah bapa kepada pemain itu iaitu Perviz Qureshi lantang mengkritik Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada sesi lawatan beliau dan anaknya ke Wisma FAM pada Jun tahun lalu.

Perviz mendakwa Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin tidak menghormatinya dan enggan untuk bertemu dengan anaknya selain tidak memperkenalkan Jaami kepada ketua jurulatih skuad kebangsaan iaitu Kim Pan-gon.