Isu tunggakan gaji membabitkan pasukan Melaka United kini memasuki episod baharu apabila pemilik kelab itu dikatakan bakal didakwa di mahkamah dalan masa terdekat.

Baca Juga:

Menurut laporan Harian Metro, sikap pengurusan pasukan tersebut berdiam diri membuatkan beberapa bekas pemain hilang sabar dan terpaksa memilih mahkamah sebagai jalan terakhir.

“Dikhabarkan isu MU akan di bawa ke mahkamah dan tindakan pemula sudah diambil. Dah banyak kali peringatan diberikan kepada pengurusan kelab itu tapi tiada jalan penyelesaian.

“Mungkin ini pilihan yang ada bagi menuntut hak pemain yang sudah lama dibiarkan tanpa ada usaha untuk menyelesaikan,” kata sumber Harian Metro.

Kredit Foto: PFA Malaysia

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) sebelum ini mendedahkan tunggakan gaji pemain Melaka United adalah berjumlah RM2.3 juta membabitkan tempoh setengah tahun bagi musim lalu.

“Tunggakan gaji yang bermula daripada Julai 2022 sehingga Disember 2022 telah menyebabkan pemain Melaka United FC berdepan dengan situasi 6 bulan tidak bergaji,” menurut kenyataan rasmi dikeluarkan PFAM.

Malah, Pengelola liga bola sepak Malaysia, Malaysian Football League (MFL) terpaksa membuat keputusan untuk menyalurkan sebahagian amaun daripada hak penyiaran bagi membantu menyelesaikan masalah tunggakan gaji membabitkan pasukan Melaka United.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Stuart Ramalingam mengesahkan perkembangan itu dan menjelaskan jumlah tersebut akan disalurkan terus kepada pemain bukan pasukan.

“Ahli Lembaga Pengarah meluluskan keputusan ini pada penghujung Jun lalu dan ia akan disalurkan secara terus kepada pemain dan bukannya kepada pasukan.

“Kami akan mengagihkan dana itu sewajarnya kepada mereka dan ini adalah wang yang ditahan oleh MFL. Namun kita hanya dapat lakukan apa yang mampu kita lakukan.

“Sudah tentu ia tidak dapat menyelesaikan masalah ini tetapi ia memberikan sedikit kelegaan kepada pemain. Isu ini tidak membabitkan MFL tetapi majikan mereka dan kita harap dapat diselesaikan pada minggu ini,” kata Stuart dipetik dalam Berita Harian.