Isu perkauman sememangnya menjadi penyakit kronik yang masih menghantui sukan bola sepak sehingga ke hari ini. Masalah ini terjadi hampir di setiap negara dan ianya sedikit-sebanyak merencatkan keindahan sukan paling diminati di atas muka bumi ini.

Selama ini kita sering disajikan dengan isu perkauman yang terjadi di sekitar liga utama Eropah seperti Liga Perdana Inggeris dan juga Serie A. Namun, baru-baru ini sebuah laman web membuat satu pendedahan dimana isu perkauman turut terjadi dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut pendedahan ArmchairMalaysia, pemain import Pulau Pinang, Ndumba Makeche menghadapi hinaan berbaur perkauman ketika beraksi dalam saingan Liga Malaysia. Beliau membuat penampilan pertama pada perlawanan menentang Selangor United setelah pulih daripada kecederaan.

Ndumba Makeche
Sumber Gambar: The Star

“Selangor United ketika itu mendahului, kemudian ada beberapa penyokong yang membuat bunyi seakan monyet terhadap saya,” kata Makeche.

“Selepas kejadian itu, saya mahu berjalan keluar kerana ia melibatkan pasukan yang saya wakili! Saya sudah memaklumkan kepada pihak atasan namun tiada tindakan yang diambil.”

Pulau Pinang akhirnya memenangi perlawanan tersebut. Namun, Makeche masih trauma dengan kejadian yang berlaku. Insiden tersebut bukanlah kali pertama untuk Makeche.

zah-Rahan-Krangar
Sumber Gambar: Felda United

“Saya berdepan dengan isu perkauman di Malaysia sebanyak tiga kali dalam tempoh 5 tahun saya berada di Malaysia. Kali pertama terjadi di Johor ketika perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia 2012 antara JDT menentang Felda United.

“Kami harus menghentikan sesi pemanas badan bagi memberikan laluan untuk menunaikan solat. Saya dan Zah Rahan berlatih di tepi padang dan kami mendengar ada sesetengah penyokong membuat bunyi monyet, namun saya dan Zah Rahan tidak mengendahkannya.

“Kali kedua ketika perlawanan persahabatan menentang Perlis dalam perlawanan persahabatan. Saya berada berdekatan dengan peminat dan mereka membuat bunyi monyet kepada saya! Saya kecewa kerana pernah beraksi bersama pasukan tersebut.

“Saya cuba untuk tidak memberikan perhatian kepada isu tersebut. Akan tetapi, mengetahui ianya sukan paling saya minati dan telah beraksi dengan pelbagai pemain dari pelusuk dunia membuatkan kejadian itu satu memori paling menyedihkan dalam karier saya,” ujarnya.

Sumareh

Pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh turut berdepan masalah sama sejak beliau memulakan karier profesional di Malaysia.

“Saya telah dipanggil dengan pelbagai gelaran seperti Nigga, Hitam dan Motherfucker. Malah saya mempunyai video segelintir peminat yang melontarkan kata-kata kesat itu.

“Sebelum ini, saya akan memberikan reaksi terhadap isu perkauman itu. Namun sekarang saya belajar bagaimana untuk tidak memberikan sebarang reaksi. Tahun lalu, saya masih ingat dimana peminat Melaka United melebihi batasan. Peminat lain mungkin akan ‘boo’ saya. Tetapi peminat Melaka melaungkan ‘chant’ perkauman terhadap saya. Mereka tidak boleh bertenang langsung!

“Jika anda menampilkan persembahan cemerlang, maka peminat akan menghentikan hinaan mereka. Dollah juga selalu memberikan motivasi terhadap saya. Saya masih ingat ada seorang pemain yang melaungkan hinaan berbaur perkauman terhadap saya. Selepas perlawanan, saya memberitahu pemain itu dia adalah pemain yang bagus dan mempunyai masa depan yang cerah. Dia serta-merta meminta maaf kepada saya.

Apa yang pasti, isu perkauman yang terjadi dalam saingan Liga Malaysia perlu segera dihentikan kerana perkara ini mampu merencatkan suasana bola sepak dalam negara.