Presiden Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali mengesahkan pihaknya sudah menerima satu aduan rasmi daripada pemain Kelantan FC susulan isu pemotongan gaji.

Baca Juga:

“Memang ada laporan pasal kes Kelantan baru masuk. Harap pemain lain berani ke depan buat laporan supaya boleh buat perbincangan selanjutnya,” kata Safee dalam Harian Metro.

Dua pemain Kelantan FC, Farhan Abu Bakar dan Afzar Akbar telah mengadakan pertemuan dengan PFAM yang diwakili Eksekutif Perundangan PFAM, Syafiq Jebat hari ini.

Isu kelewatan gaji dan pemotongan gaji membabitkan pemain Kelantan FC menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan apabila Farhan mendedahkan pengurusan pasukan itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Pemain Kelantan didakwa hidup dalam tekanan apabila dihimpit dengan komitmen bulanan ekoran kegagalan mendapatkan gaji penuh setiap bulan.

Menurut Safee, aduan rasmi daripada pemain TRW adalah penting untuk pihaknya untuk membantu pemain profesional tempatan.

“Bukan kita mahu cari kesalahan tetapi kita cuba selesaikan dengan cara baik untuk kebaikan kedua-dua belah pihak sama ada pengurusan dan juga pemain, di mana kita nak capai kata sepakat dan kata setuju antara dua dua belah pihak.

“Sekarang ini kes tak boleh dedahkan secara terperinci, tetapi kita akan mengambil tindakan secepat mungkin,” katanya.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau dikenali sebagai Zamsaham sebelum ini berkata beliau akan membayar gaji penuh dan juga bonus KPI sekiranya pemain dapat memberikan dua kemenangan bagi aksi berikutnya.

Beliau berkata demikian kerana tidak puas hati dengan prestasi pasukan itu yang hanya mampu raih satu kemenangan selepas mengharungi 12 perlawanan Liga Super.

Disebabkan itu, gaji pemain terpaksa dipotong 50 peratus sekaligus menimbulkan pelbagai kritikan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.