Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui cukup mengagumi karakter Lee Tuck yang tidak pernah gagal untuk menarik perhatiannya baik dalam dan di luar padang.

Irfan yang melabelkan Lee Tuck antara salah seorang ‘pekerja paling rajin’ dalam skuad kendaliannya berkata, pemain kelahiran England berusia 30 tahun itu sentiasa memberikan 120 peratus dalam setiap arahan diberikan terutama pada sesi latihan.

Justeru, bekas jurulatih Selangor dan Felda United itu percaya kualiti dan kesungguhan Lee Tuck dalam melaksanakan setiap arahan jurulatih baik dalam dan di luar padang seharusnya dijadikan contoh teladan terbaik bagi mendidik pemain muda.

“Saya sentiasa tertarik dengan Lee Tuck. Seorang pemain yang cukup rajin tidak kira dalam sesi latihan mahupun perlawanan.

“Jika dalam sesi latihan, dia orang pertama tiba dan dia orang yang terakhir (meninggalkan sesi latihan). Baginya, bola sepak adalah segala-galanya dan itulah sebab mengapa saya sebagai jurulatih sentiasa senang dengannya.

lee tuck

“Setiap kali dia diturunkan, Lee Tuck akan memberikan lebih apa yang diminta. Karakter Lee Tuck ini seharusnya dijadikan contoh terbaik kepada semua pemain khususnya pemain muda tempatan.

“Cuma saya juga ada nasihatkan kepada dia supaya kurangkan bermain secara individu ketika beraksi di atas padang dan dengan pakej yang sedia ada, sudah pasti saya sentiasa gembira kerana Lee Tuck mampu memberikan pengaruh positif kepada rakan-rakan sepasukan,” katanya.

Sebagai rekod, Lee Tuck telah menjaringkan 14 gol dalam kesemua kejohanan musim lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, Irfan percaya laporan akhbar yang sebelum ini mengaitkan Lee Tuck pemain kelahiran England bakal menyertai pasukan kebangsaan tidak akan menjejaskan fokusnya menghadapi saingan unifi Liga Super 2019.

“Seperti saya katakan tadi, dia seorang yang komited atau mungkin Lee Tuck lebih teruja untuk menunjukkan prestasi lebih bagus pada musim baharu selepas dia kerap dikaitkan untuk menyertai pasukan negara.

“Namun apa yang saya nampak, mungkin Lee Tuck akan menjadikan tawaran itu sebagai suntikan motivasi dan ini sudah pasti memberikan kelebihan buat TFC,” tambah Irfan.

TFC naib juara unifi Piala Malaysia musim lalu memulakan aksi unifi Liga Super 2019 bertemu PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu (1 Februari) sebelum berkunjung ke Stadium Darul Makmur Kuantan menentang Pahang bagi aksi kedua pada 8 Februari ini.