Juara Liga Super 9 kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan laluan sukar dalam saingan AFC Champions League (ACL) 2023/24 apabila diundi bersama kelab gergasi Korea Selatan, Jepun dan Thailand.

Ibarat mengulangi pertemuan musim 2022, skuad Harimau Selatan sekali lagi bakal berdepan Ulsan Hyundai dan Kawasaki Frontale. Satu lagi lawan mereka ialah BG Pathum United yang merupakan naib juara Liga Thailand.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) turut mengakui ia adalah kumpulan yang sukar namun mereka akan terus berjuang seperti setiap tahun.

“Kumpulan yang mencabar. Lion City Sailors (Singapore) dengan Buriram United (Thailand) dalam kumpulan senang. Tetapi tiada masalah. Kita akan berjuang macam setiap tahun.

“Tidak menyerah kalah. Demi Johor, JDT dan penyokong, kami akan lakukan yang terbaik,” tulis TMJ menerusi ruang komen di laman instagram.

Ketika dibimbing oleh Benjamin Mora, JDT pernah menewaskan Ulsan Hyundai dua kali (2-1) di Stadium Sultan Ibrahim. Ketika itu perlawanan berlangsung secara venue berpusat bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Malah, mereka juga tewas 5-0 kepada Kawasaki Frontale dan seri tanpa jaringan pada perlawanan kedua berdepan kelab Jepun itu. Selain itu, Harimau Selatan turut merekodkan dua kemenangan ke atas Guangzhou FC untuk muncul juara kumpulan.

Namun, rekod pertemuan itu tidak boleh dijadikan ukuran kerana situasi pada musim ini sudah tentu berbeza. Berdasarkan kualiti barisan pemain JDT pada musim ini, tidak mustahil Harimau Selatan lakar kejutan mara lebih jauh.

Perlawanan peringkat kumpulan dijadualkan berlangsung bermula 18 September 2023 hingga 13 Disember 2023. Setiap kelab akan beraksi dalam 6 perlawanan home dan away.

Hanya pasukan teratas kumpulan dan 3 tempat kedua terbaik kumpulan sahaja mara ke Pusingan 16 (kalah mati) yang turut dimainkan secara timbal balik.

Musim ini adalah yang terakhir kejohanan tersebut menggunakan nama AFC Champions League sebelum bertukar kepada AFC Champions League Elite yang disertai oleh 24 kelab elit di Asia.