Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck kini mempunyai kerjaya baharu selepas beliau memutuskan untuk meninggalkan Malaysia dan kembali ke negara kelahirannya iaitu England.

Artikel Berkaitan:

Tuck mengejutkan ramai pihak apabila beliau berpisah dengan Kedah Darul Aman atas persetujuan bersama. Bagaimanapun, punca sebenar perpisahan itu tidak didedahkan kepada umum.

“Kami mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Lee Tuck atas khidmatnya yang luar biasa kepada kelab. Semangat, kerja berpasukan, dan kepimpinannya di dalam dan di luar padang telah memberi inspirasi kepada ramai pemain muda dan peminat,” dipetik dari kenyataan pihak kelab.

Selepas meninggalkan Malaysia, kini Tuck dilihat melibatkan diri dalam bidang hartanah dan beliau banyak berkongsi perkembangan karier baharunya menerusi laman media sosial.

Baru-baru ini, Tuck juga tersenarai bagi satu anugerah yang dianjurkan oleh salah satu badan hartanah di negara itu.

“Saya berbesar hati untuk mengumumkan bahawa saya adalah finalis dalam Anugerah Pelabur Hartanah yang merupakan salah satu anugerah kebangsaan terbesar di UK dan ia merupakan salah satu anugerah yang paling diiktiraf dalam industri hartanah.

“Saya sangat berbangga dengan pasukan saya atas semua kemajuan yang telah kami capai pada 2022/2023 dan walaupun ia tidak selalu mudah, saya bersyukur atas pengiktirafan yang kami terima atas segala usaha kami untuk meningkatkan taraf hartanah sewaan,” katanya.

Masih tidak diketahui sama ada Tuck akan kembali ke kancah bola sepak profesional ataupun terus memberi tumpuan dalam bidang hartanah sekaligus bersara.

Ketika berdama Kedah, pemain itu beliau telah menjaringkan 5 gol serta 7 bantuan gol dalam 15 penampilan dalam saingan Liga Super.

Prestasi cemerlang bersama Kedah turut memberi peluang kepadanya untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Jun lalu.