Ketua jurulatih Ulsan Hyundai, FC Hong Myung-bo yakin pasukannya akan kembali mengutip tiga mata dalam perlawanan kedua AFC Champions League 2022 (ACL) menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.
Juara ACL dua kali itu terikat 1-1 ketika aksi pertama menentang Kawasaki Frontale di Stadium Larkin dan Myung-bo tidak begitu bimbang dengan keputusan tersebut kerana masih dalam proses untuk sesuaikan diri dengan keadaan cuaca panas.
“Kami masih dalam proses untuk pulihkan tahap kecergasan selepas perlawanan sukar menentang Kawasaki. Sudah tentu keutamaan adalah berada dalam keadaan terbaik untuk dapatkan tiga mata ketika menentang JDT.
“Ini kali pertama kami akan bermain pada waktu malam dan para pemain perlu cepat untuk sesuaikan diri.
“Paling penting ialah persembahan pemain dan saya berpuas hati dengan prestasi mereka dalam perlawanan menentang Kawasaki. Saya yakin dari segi pandangan psikologi, ia tidak akan memberi impak kepada kami untuk mendapatkan kemenangan esok (malam ini),” kata Myunb-bo ketika sidang media.
Mengulas mengenai ancaman JDT yang mencatat kemenangan besar 5-0 ketika menentang Guangzhou FC, Myung-bo dan barisan pemainnya sangat mengenali penjaring hatrik perlawanan itu, Bergson Da Silva.
Ini kerana pemain kelahiran Brazil itu pernah beraksi di K-League bersama Kelab Suwon Bluwings pada musim 2011-2012 dan Busan I Park pada tahun 2015. Justeru itu, mereka tekad merantai pergerakan Bergson daripada meledak gol lagi.
“Kami akan menumpukan perhatian terhadap dua penyerang JDT (Bergson dan Forestieri). Dua pemain ini mempunyai persefahaman yang cemerlang, gerakan yang hebat dan kombinasi permainan.
“Pemain dari Brazil itu (Bergson) telah buktikan kemampuanya dan kami kenal dia sejak zamannya beraksi dalam K-League. Kami akan memberi tumpuan untuk rantai pergerakannya,” kata Myung-bo.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.