Penantian panjang untuk melihat destinasi seterusnya buat Moises Caicedo akhirnya terjawab selepas pemain tengah itu sudah mencapai kesepakatan bagi menyertai Chelsea.
Baca Juga:
- Brighton Naikkan Tanda Harga Caicedo Jadi £100 Juta Kerana Declan Rice
- Chelsea Tak Mahu Bayar £80 Juta Untuk Moises Caicedo
- Chelsea Mahukan Caicedo Selepas Selesaikan Perpindahan Enzo Fernandes
Dikaitkan dengan The Blues sejak beberapa bulan kebelakangan ini dan kemudiannya Liverpool hampir untuk merampas pemain berusia 21 tahun tersebut kerana Chelsea tidak mahu memenuhi permintaan Brighton, kini segalanya sudah hampir ke penghujung.
Malah, proses perpindahan ini juga sudah berada di fasa akhir apabila sesi ujian medikal untuk pemain skuad kebangsaan Ecuador itu sudah pun ditempah.
Perkembangan itu disahkan oleh wartawan bola sepak terkenal dunia, Fabrizio Romano yang sudah pun mengeluarkan ayat keramatnya, ‘Here We Go’ terhadap perpindahan Caicedo ke Chelsea.
Menurut beliau, kedua-dua pihak telah bersetuju dengan segala terma dan syarat yang mana bakal menjadikannya sebagai rekod perpindahan termahal kelab British.
Keadaan itu menjadi nyata apabila perpindahan Caicedo dilaporkan oleh Romano bernilai £115 juta dengan memeterai kontrak selama lapan tahun.
Seperti yang diketahui sebelum ini, oleh kerana Chelsea enggan memenuhi permintaan tinggi Brighton, Caicedo hampir disambar oleh Liverpool dengan tanda harga £110 juta.
Namun meskipun Liverpool dan Brighton sudah mencapai kata sepakat, Moises Caicedo masih teguh dengan pendiriannya apabila hanya mahu berhijrah ke Chelsea.
Keadaan itu membuatkan Chelsea meneruskan misi untuk membawa Caicedo ke Stamford Bridge dan gandingan impian beliau dan Enzo Fernandez di posisi tengah semakin hampir untuk direalisasikan.