Skuad Tok Gajah terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila mereka terikat 1-1 dalam perlawanan menentang Terengganu FC semalam sekaligus menangguhkan hasrat mereka untuk bergelar sebagai naib juara Liga Super musim ini.
Keputusan tersebut turut menyaksikan Pahang kini dibezakan 5 mata dengan pencabar terdekat iaitu Melaka United ditangga ketiga. Bagaimanapun, Kedah dan Selangor berpeluang merapatkan jurang mata jika mereka berjaya mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan liga super malam ini.
Dalam perlawanan itu, Pahang terlebih dahulu mengejutkan tuan rumah apabila Lazarus Kiambi melakukan percubaan awal hasil hantaran daripada Wan Zaharunizam tetapi tersasar. Ayam tambatan Terengganu FC, Kipre Tchetche, kemudian cuba menembusi kubu lawan pada minit ke-17, namun bola lambungannya dikeluarkan Muslim Ahmad ketika penjaga gol sudah tertewas.
Skuad kendalian Dollah Salleh itu sekali lagi hampir menjaringkan gol pertama melalui rembatan lencong Zuhair Aizat namun berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu FC, Ilham Amirullah. Beliau juga cemerlang menafikan situasi satu lawan satu berdepan Mohamadou Sumareh pada minit ke-41.
Beberapa minit kemudian, bekas pemain Tok Gajah, Syamim Yahya muncul sebagai penjaring pertama Terengganu FC apabila berjaya merampas bola kawalan Matthew Davies dan melakukan rembatan leret menewaskan penjaga gol Pahang, Remezey Che Ros.
42’| GOL SYAMIM YAHYA!
Kelekaan dari pertahanan Pahang dihukum oleh Syamim Yahya yang melepaskan rembatan rendah menewaskan Remezey Che Ros! Sang Penyu mendahului!@FCTerengganu 1-0 @OfficialPahang #LigaSuper2019#MFLLive#TERPHG pic.twitter.com/CRYNUJKDj7
— MFL LIVE (@MFL_Live) July 12, 2019
Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama tetapi ia langsung tidak mematahkan semangat Pahang untuk mencari jaringan penyamaan. Di separuh masa kedua, Mohamadou Sumareh berjaya melepasi kawalan Nasrullah Hanif Johan untuk menyudahkan rembatan kencang hanya lima minit bersambung babak kedua.
51’| GOL SUMAREH!
Umpanan cantik dari Wan Zaharulnizam kepada Mohamadou Sumareh disudahkan dengan baik oleh beliau untuk gol penyamaan Pahang!@FCTerengganu 1-1 @OfficialPahang
#LigaSuper2019#MFLLive#TERPHG pic.twitter.com/DiJp5gCFz6— MFL LIVE (@MFL_Live) July 12, 2019
Tersentak dengan jaringan penyamaan itu, skuad penyu terus mengandakan asakan dan hampir memperolehi jaringan kedua melalui percubaan Syamim Yahya dan Khairul Anwar namun rembatan mereka sekadar melambung tinggi.
Anak buah Nafuzi Zain terus melakukan serangan bertubi-tubi menerusi gerakan Abdul Malik Mat Ariff, namun hantarannya dari sebelah kanan gagal disambar Tchetche pada minit ke-77. Pahang juga hampir memperolehi jaringan kemenangan pada minit akhir perlawanan tetapi Kogileswaran gagal menahan bola dengan kemas hantaran daripada pemain gantian, Faisal Halim.