Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui tidak begitu teruja dengan idea negara-negara ASEAN untuk melakukan bidaan bersama bagi mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia 2034.
Beliau juga menegaskan skuad Harimau Malaya tidak berniat untuk memasuki Piala Dunia melalui ‘tiket percuma’ sebagai tuan rumah sebaliknya menyifatkan penganjuran kejohanan bola sepak yang paling berprestij itu memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan.
“Idea itu (bida sebagai hos bersama) bagus tapi ia bukan hendak cari jalan mudah untuk layak ke Piala Dunia. Tapi mungkin ada netizen beranggapan FAM tidak mampu masuk (Piala Dunia) secara merit, jadi cuba hendak masuk dengan cara menjadi hos.
“Kalau dengan cara ini, saya sendiri pun tidak teruja (untuk bida). Idea daripada (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad, itu bagus untuk ekonomi dan ASEAN,” katanya dalam Stadium Astro
Minggu lalu, pengerusi ASEAN, Jeneral.Prayuth Chan o-cha, yang juga Perdana Menteri Thailand, mengumumkan badan serantau itu bersetuju untuk membangunkan satu usaha bersama bagi membida hak sebagai tuan rumah Piala Dunia 2034.
Ia turut disokong oleh Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjelaskan semua negara di Asia Tenggara berpeluang menjadi tuan rumah jika mereka membida secara bersama.
Bagaimanapun, mereka berdepan satu halangan, iaitu bidaan daripada China untuk penganjuran Piala Dunia 2030 yang akan memaksa negara Asia Tenggara perlu menunggu pada tahun 2038. Justeru itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) diarahkan berbincang dengan pihak kedutaan China di Malaysia.
Jepun dan Korea Selatan adalah dua negara Asia yang pernah menjadi tuan rumah bersama ketika kejohanan Piala Dunia 2002. Qatar akan menjadi negara Asia ketiga yang menganjurkan Piala Dunia pada tahun 2022.