Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin menegaskan badan induk itu tidak mempunyai sebarang hutang dengan Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ).
Baca Juga:
- TMJ: Kejohanan Eropah Macam Serie A Pun Ada Bakar Suar
- Hamidin Bertemu Pierluigi Collina Bincang Penggunaan VAR
- FAM Tak Jadi Hantar Skuad Malaysia B-23 Ke Sukan Asia
Dalam satu temubual bersama pihak media sebelum ini, TMJ berkata FAM mempunyai hutang lama yang belum dilunaskan kepadanya dan mahu ia ditolak melalui denda yang akan dikenakan kepada kelab itu selepas penyokong Harimau Selatan didapati membakar suar di Stadium Sultan Ibrahim.
Untuk rekod, TMJ dikatakan pernah menyelesaikan hutang lapuk FAM dan saman MP Silva dengan jumlah keseluruhan RM13.4 juta ketika beliau menjadi Presiden badan induk itu dari 2017 hingga 2018.
“Mungkin mereka boleh tolak daripada duit-duit hutang lama ke. Tengok pada jasa Presiden FAM dan orang-orang besar yang berada dalam bolasepak tanah air di FAM,” katanya.
Menurut Hamidin, hutang yang dimaksudkan oleh TMJ itu mungkin melibatkan pembayaran hadiah kemenangan yang masih belum dilunaskan sepenuhnya oleh badan pengendali liga, Malaysia Football League (MFL).
“Tak ada, saya tak pasti kita ada hutang atau tidak. Saya rasa, mungkin MFL, mungkin ada sedikit hadiah kemenangan yang belum dilunaskan.
“Tapi saya rasa mungkin hampir dilunaskan… saya rasa. Tapi dengan FAM tak ada.
“Mungkin kelewatan membayar wang kemenangan, tapi ia mungkin dah dijelaskan, mungkin boleh semak dengan Datuk Ab Ghani (Presiden MFL),” katanya kepada pihak media ketika Majlis Terbuka Aidilfitri di kediamannya.
Aktiviti pembakaran suar selepas perlawanan sebenarnya telah melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.
Setakat ini, belum ada hukuman yang dikenakan kepada JDT sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak negara kemungkinan JDT diberikan layanan istimewa oleh FAM.
Namun begitu, TMJ mengakui pasukan itu akan dikenakan denda selain mengharapkan agar nilai denda itu dapat ditolak melalui hutang lama mereka.
“Sudah tentu akan kena denda. Denda tersebut juga saya kira akan meningkat kerana sudah tiga kali penyokong saya membakar suar.
“Jadi itu saya kena tunggu FAM keluarkan denda tersebut menerusi Jawatankuasa Tatatertib. Saya harap mereka janganlah bagi harga yang mahal sangat untuk saya bayar,” kata TMJ.