Bekas pertahanan Perancis sekitar tahun 2002 hingga 2010, William Gallas menegaskan juara bertahan itu tidak perlu takut dengan ancaman yang bakal diberikan England pada aksi suku akhir Piala Dunia 2022, 11 Disember nanti.

Baca Juga:

Perancis mara ke suku akhir selepas bergaya menundukkan Poland 3-1 manakala England mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas wakil Afrika, Senegal.

Meskipun yakin dengan kemampuan anak buah Didier Dechamps itu, Gallas bagaimanapun melihat ada pemain mampu untuk memberikan masalah buat Perancis iaitu pemain tengah, Declan Rice.

“Tiada sesiapa dalam pasukan England yang menakutkan saya. Saya tidak takut tentang seorang pemain,” ujar Gallas menurut laporan Goal.

“Tetapi, Declan Rice berada dalam skuad England dan tiada sesiapapun yang benar-benar bercakap tentang keupayaannya. Dia sangat luar biasa.”

“Dia melakukan perkara yang sama ketika menyarung jersi West Ham United dan saya tidak tahu kenapa dia masih kekal bersama kelab tersebut [tidak menyertai kelab lebih besar].”

“Untuk satu tempoh yang lama, saya tidak pernah melihat seorang pemain tengah sepertinya. Dia seorang pemain yang kuat, mempunyai kemampuan yang hebat dan secara teknikalnya dia memang seorang yang sangat luar biasa.”

“Saya lebih takut melihat tiga pemain tengah England berbanding seorang pemain,” tambah William Gallas lagi.

Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu adalah pada 13 Jun 2017 dalam aksi persahabatan di Paris yang menyaksikan Perancis menang 3-2.

Di pentas Piala Dunia pula, England dan Perancis hanya bertembung pada tahun 1966 dan 1982 dimana kedua-dua perlawanan tersebut dimenangi The Three Lions.

 

 

Sumber