Legenda Chelsea, Frank Lampard akan kembali menjadi watak penting di Stamford Bridge apabila dilaporkan menerima tawaran untuk bergelar pengurus interim kelab tersebut.
Baca Juga:
- Lampard: Satu Penghormatan Dapat Bimbing Kelab Besar Seperti Everton
- Lampard Tidak Dibenarkan Ke Tempat Latihan Ucap Selamat Tinggal Kepada Pemain
- RASMI: Lampard Dipecat Kerana Tak Ada Hala Tuju Jelas
Perkembangan terkini mengenai kehadiran Lampard itu disahkan wartawan bola sepak terkemuka dunia, Fabrizio Romano menerusi hantaran di laman sosial peribadi miliknya.
Menurut Romano, Lampard bersetuju dengan terma yang membolehkannya membuat penampilan kedua sebagai pengurus Chelsea.
Difahamkan Lampard akan menggalas tanggungjawab bersama yang diwakilinya selama 13 tahun itu sehingga tamat saingan musim ini.
Kelibat beliau juga turut kelihatan di Stamford Bridge, awal pagi semalam bagi menyaksikan pertemuan Chelsea dengan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2022/23.
Seperti diketahui sebelum ini, Frank Lampard sempat membimbing Chelsea dengan kontrak selama tiga tahun bermula 14 Julai 2019 dan berjaya membantu kelab tersebut layak ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) walaupun berdepan larangan pembelian pemain.
Bagaimanapun, jodohnya bersama The Blues berakhir selepas beliau dipecat pada 25 Januari 2021 untuk digantikan dengan Thomas Tuchel.
Tugas berat menanti Lampard pada fasa kedua bersama kelab tersebut kerana perlu mengubah nasib pasukan yang ketika ini hanya berada di kelompok pertengahan liga.
Selain perlu menjelmakan keputusan positif, beliau juga akan berdepan tugas getir pada aksi suku akhir UCL dimana Chelsea akan berhadapan dengan juara bertahan, Real Madrid.
Untuk memudahkan lagi tugasannya, Lampard dikhabarkan akan membawa Joe Edwards, Chris Jones, Ashley Cole dan berkemungkinan Paul Clement bagi membantunya.