Phil Foden optimis bahawa rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan England, Jude Bellingham akan mengembangkan bakatnya sehingga mampu menjadi antara pemain tengah terbaik di dunia pada satu hari nanti.

Baca Juga:

Keyakinan itu disuarakan Foden selepas melihat Bellingham mempamerkan corak permainan bertenaga dalam mengemudi jentera tengah untuk membantu England mencatatkan kemenangan 3-0 ke atas Senegal pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2022, awal pagi tadi.

Malah, pemain berusia 19 tahun itu juga mencipta bantuan kepada jaringan pembukaan yang dihasilkan Jordan Henderson.

Manakala, beliau juga turut bertindak cemerlang dalam menghalang gerakan pemain lawan kemudiannya mencipta serangan balas pantas untuk gol kedua dihasilkan Harry Kane.

Susulan dengan aksi tersebut, Foden tanpa berselindung mengakui pemain Borussia Dortmund itu mempunyai kemampuan pakej lengkap untuk menjadi pemain disegani.

“Saya tak mahu terlalu ‘mengangkat’ Jude Bellingham terlalu tinggi kerana dia masih muda tetapi dia adalah antara pemain berbakat yang pernah saya saksikan,” ujar Foden menurut laporan Goal.

“Saya tidak nampak sebarang kelemahan dalam corak permainannya. Dia mempunyai segala-galanya dan dia pasti akan menjadi pemain tengah terbaik di dunia.”

Selain sumbangan hebat dijelmakannya pada perlawanan ini, Bellingham merupakan penjaring pertama buat England dalam kempen Piala Dunia 2022 apabila tandukannya telah membuka tirai jaringan ketika aksi menentang Iran tempoh hari.

Dengan kemampuan hebat ditampilkannya di Qatar sudah pasti tanda harga Bellingham akan melonjak tinggi kerana ia merupakan perkara biasa bagi pemain kelahiran England yang semakin meningkat naik.

Sumber