Sebuah firma E-dagang, Mercari Inc. mengumumkan mereka menjadi pemegang saham terbesar dalam kelab yang beraksi dalam saingan divisyen pertama Liga Jepun, Kashima Antlers, kelab paling berjaya dalam sejarah saingan liga domestik negara Matahari Terbit itu.
Mercari akan memegang sebanyak 61.6 peratus pegangan saham dalam Kashima Antlers F.C. Co., dimana mereka akan mengendalikan kelab yang sebelum ini dikenalikan oleh Nippon Steel Corp bermula pada 30 Ogos ini dengan nilai sebesar ¥1.6 bilion. Lembaga Pengarah J.League telah mengesahkan transaksi ini pada Selasa lalu.
“Kami berasa teruja dapat membantu pengurusan sebuah pasukan nombor satu dalam saingan Liga Jepun,” kata Ketua Pegawai Operasi Mercari, Fumiaki Koizumi dalam satu sidang akhbar di Tokyo.
Tambah Koizumi, pengambilalihan kelab yang berpangkalan di bandar Kashima itu akan membantu Mercari meluaskan lagi pasaran syarikat tersebut. Mercari sebelum ini menjadi penaja utama Antlers sejak musim 2017.
Kashima Antlers merupakan kelab yang ditubuhkan dengan nama Sumitomo Metal pada 1947 sebelum ditukar kepada nama terkini merupakan merupakan kelab paling berjaya sejak J.League diperkenalkan dimana The Antlers telah memenangi gelaran Liga sebanyak 8 kali. Pasukan bimbingan Go Oiwa ini merupakan juara bertahan saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dimana mereka menewaskan kelab Iran, Persepolis dengan keputusan 2-0 secara agregat.
Presiden kelab, Hiroshi Shono berkata perjanjian tersebut dimuktamadkan selaras dengan perubahan yang sedang berlaku dalam saingan Liga Jepun ketika ini.
“Kelab ini akan mengalami proses perubahan namun masih mengekalkan tradisi dan falsafah kelab yang sudah ditetapkan sejak hari pertama,” kata Shono.
Kini, dengan hadirnya MercariInc sebagai pemegang saham terbesar, saham yang dimiliki oleh Nippon Steel Corp berkurang kepada 11 peratus.