Bola sepak Indonesia kembali menjadi sebutan apabila perlawanan akhir kedua Piala Indonesia 2019 antara Persija Jakarta menentang PSM Makassar terpaksa ditunda ke tarikh lain ekoran tahap keselamatan yang membimbangkan.
Perlawanan akhir kedua bagi saingan yang menggunakan format seperti Piala FA itu sepatutnya berlangsung pada semalam di Stadium Mattoangin, Makassar. Namun, bas yang dinaiki oleh pemain Persija ketika menuju ke hotel dan tempat latihan dibaling dengan batu dan juga objek keras.
Berikutan insiden yang berlaku, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) memutuskan aksi final kedua itu akan dilangsungkan tanpa kehadiran penonton.
Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria kemudiannya memutuskan aksi final kedua itu ditangguhkan kepada tarikh yang belum ditetapkan.
Sehingga saat ini, PSSI masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai tarikh baharu perlawanan akhir kedua akan diadakan.
Pada perlawanan pertama, Persija berjaya memperoleh kelebihan dimana mereka meraih kemenangan dengan keputusan 1-0 menerusi jaringan tunggal pemain pertahanan Ryuji Utomo.
Saingan Piala Indonesia musim ini disertai oleh 128 pasukan dari Liga 1, 2 dan 3. Saingan ini diadakan sedikit lewat dari tarikh yang sepatutnya bagi memberikan laluan kepada pilihan umum Indonesia.