Aksi cemerlang yang ditampilkan oleh pemain muda Kedah, Mohammad Fayadh Zulkifli Amin di pentas perlawanan akhir Piala FA 2019 minggu lalu diharapkan dapat menjadi titik tolak untuk beliau beraksi bersama skuad B-23 tahun negara dalam temasya Sukan SEA di Filipina pada November ini.

Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin memasukkan Fayadh pada separuh masa kedua ketika kedudukan masih terikat 0-0 dan keputusan beliau nyata berbaloi apabila pemain sayap itu berjaya mengkucar-kacirkan pertahanan Perak sekaligus membantu pasukan memperoleh gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh seorang lagi pemain muda berbakat, Mohd Fazrul Danel.

Menurut pemain yang pernah beraksi untuk Kedah dalam saingan Sukma edisi 2018, beliau berharap kejayaan membantu skuad Lang Merah memenangi Piala FA 2019 dapat menjadi batu loncatan untuknya beraksi bersama pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa.

Fayadh
Sumber Gambar: Kedah FA

“Saya harap dengan permainan saya ini (final Piala FA) boleh pergi jauh dan harap kalau ada rezeki saya dapat main untuk Malaysia. Selepas ini kalau jurulatih (Datuk Ong Kim Swee) nak panggil, terpulanglah. Saya akan ikut rezeki yang saya dapat,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Pemain berusia 21 tahun ini merupakan antara salah seorang pemain yang dicanang untuk menggantikan bekas pemain bintang pasukan Kedah, Akhyar Rashid bagi menjulang skuad Hijau Kuning pada masa akan datang. Namun, Fayadh lebih gemar untuk dikenali dengan gaya beliau sendiri dan tidak terikat dengan Akhyar.

Mohammad Fayadh
Sumber Gambar: Kedah FA

“Saya rasa mungkin betul apa yang orang kata (sama dengan Akhyar) tapi saya dengan diri saya. Saya akan usaha atas diri sendiri,” tambahnya.

Dalam temasya Sukan SEA edisi 2017 yang diadakan di Kuala Lumpur, pasukan bimbingan Datuk Ong Kim Swee meraih pingat perak setelah tewas kepada pasukan Thailand pada perlawanan penentuan pingat emas.