Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menegaskan gelanggang keramat pasukan Selangor, Stadium Shah Alam kini selamat untuk digunakan apabila saingan Liga Malaysia musim ini kembali disambung.
Setiausaha Agungnya, Dr Johan Kamal Hamidon berkata masalah bumbung stadium yang menyebabkan mereka tidak dapat beraksi di stadium tersebut kini sudah selesai dimana bumbung yang rosak sudah dicabut.
Menurut Dr Johan, selepas mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), bumbung yang rosak telah dibuang sekaligus tahap keselamatan penyokong lebih terjamin.
“Kami dah buang bahagian yang sebelum ini bocor, retak dan yang nampak macam serpihan plastik di atas bumbung. Tapi tak diganti dengan bumbung baru cuma dibuang dan biarkan ia berlubang kerana perkara yang dibangkitkan mengenai keselamatan di mana takut serpihan bumbung jatuh ke tempat duduk penyokong.
“Hasil perbincangan dengan beberapa pihak berwajib, kami dah buang dan memang berlubang. Kalau hujan memang basah di tempat duduk penyokong, kira macam main di stadium terbuka,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Tambah Dr Johan, FAS sudah memaklumkan kepada pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan menunggu untuk mendapat kelulusan beraksi di gelanggang keramat mereka.
Dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini, Selangor hanya sekali menjadi tuan rumah itupun mereka terpaksa beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Baca artikel lain mengenai Stadium Shah Alam di sini:
TERKINI: Tonton Video Paparan Keadaan Semasa Bumbung Stadium Shah Alam Yang Sangat Daif
FAS Dan Pengelola Stadium Shah Alam Giat Berusaha Dapatkan Kelulusan
Stadium Shah Alam Tidak Boleh Digunakan Bagi Saingan Liga Malaysia Musim 2020