Rekod yang kurang memihak ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam tujuh pertemuan lalu di Liga Super tidak menggusarkan pemain Melaka United FC, Faris Shah Mohd Rosli, yang berasakan mereka mampu beri saingan sengit dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini.
Ditambah buat masa ini Melaka masih menjadi antara pasukan yang mengekalkan rekod tanpa kalah bersama JDT, Faris berasakan mental dan keyakinan rakan sepasukan berada di tahap terbaik berbanding dalam beberapa musim sebelum ini.
Walaupun begitu, Faris mengakui mereka tidak mahu terlalu fikirkan mengenai keputusan sebaliknya mahu berikan fokus serta sedaya upaya mengikut segala dirancangkan pengendali pasukan, Zainal Abidin Hassan.
“Tempoh persiapan selama dua minggu lalu saya rasa cukup bermakna sebelum bertemu JDT ini memandangkan semua orang tahu mereka sebuah pasukan yang kuat buat masa ini.
“Memang saya tidak nafikan rekod kami dengan JDT memang kurang cantik termasuk kalah (0-5) pada perlawanan tahun lalu selain beberapa musim sebelum ini.
“Bagaimanapun perkara itu tidak gusarkan saya kerana setiap musim adalah berbeza dan tiada tekanan buat Melaka apabila bertandang ke sana.
“Namun,saya tidak mahu katakan apa-apa mengenai peluang kami untuk cuba buat kejutan di sana kerana apa yang saya tumpukan buat masa ini adalah cuba mahu berikan yang terbaik di atas padang serta mengikuti setiap taktikal yang akan diaturkan jurulatih,” katanya.
Berdasarkan rekod pertemuan sejak 2017, Melaka hanya pernah sekali meraih keputusan seri pada 6 Mei 2017 apabila kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 manakala selebihnya dalam enam pertemuan lain memihak kepada JDT.
Kekalahan terbesar Melaka ketika berdepan JDT adalah pada 9 April 2017 ketika bertandang ke Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin yang memperlihatkan mereka tewas 0-7.
Faris yang sebelum ini bermain di posisi pertahanan dilihat mendapat kepercayaan Zainal untuk diletakkan selaku pemain tengah yang bertindak membantu barisan pertahanan, pada musim ini.
Berasal dari Kelantan, pemain yang berusia 26 tahun ini merupakan produk Harimau Muda serta sering kali dipanggil menyertai skuad Bawah 19 dan 23 tahun negara.
Dalam pada itu, Faris akui teruja apabila perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim nanti bakal disaksikan oleh kira-kira maksimum 2,000 penyokong tuan rumah.
Walaupun dalam kalangan penyokong lawan, Faris tetap gembira kerana sekurang-kurangnya situasi itu akan menghidupkan suasana pada hari perlawanan dengan sorakan penonton.
“Sudah lama rasanya kita tidak ada penyokong hadir ke stadium, sebelum ini sunyi sahaja pada hari perlawanan dan hanya suara sesama pemain serta jurulatih sahaja yang kedengaran.
“Walaupun nanti tiada penyokong Melaka yang datang, sekurang-kurangnyanya saya dan rakan-rakan lain rasa gembira kerana suasana stadium kembali meriah dengan suara penonton.
“Saya harap nanti bila Hang Jebat, kami juga berpeluang merasai perkara yang sama dengan sorakan penyokong sendiri untuk memberikan semangat tambahan kepada pasukan,” ujar Faris Shah.
Aksi JDT dan Melaka United serta Kuala Lumpur City FC serta Sabah FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 3 April, menjadi antara dua perlawanan simulasi bagi kemasukan penonton pada Liga Malaysia, musim ini.