Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mahu skuad Harimau Malaya mengekalkan fokus mereka meskipun berjaya mencipta kemenangan besar terhadap Timor Leste pada perlawanan pertama play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jumaat lalu.
FAM menerusi Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berharap pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe dapat mengekalkan rentak cemerlang pada perlawanan kedua Selasa ini.
“Harimau Malaya bermula langkah kanan serta mempamerkan semangat juang tinggi pada aksi minggu Hari Raya ini dan saya berharap pasukan kekalkan tempo ini dan dapat beraksi lebih baik pada aksi timbal balik nanti.
“Saya juga berharap Harimau Malaya terus fokus untuk memastikan perlawanan timbal balik menang selesa untuk mara ke pusingan kedua kelayakan September nanti, “kata Datuk Hamidin dalam satu kenyataan yang dikeluarkan FAM di media sosial rasmi persatuan itu.
Pasukan negara dijangka tidak berdepan sebarang masalah pada Selasa ini memandangkan bekalan selesa yang diperoleh pada perlawanan pertama.
Tan Cheng Hoe mungkin akan memberikan peluang kepada pemain yang tidak beraksi pada Jumaat lalu bagi membarisi kesebelasan utama pasuka Selasa ini.