Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkongsi situasi semasa salah seorang pengadil yang terkenal dengan kontroversi dalam saingan Liga Malaysia iaitu Zulkarnain Zakaria.

Artikel Berkaitan:

Kelibat Zulkarnain atau yang lebih dikenali dengan panggilan reff botak dilihat ketika beliau menjalani latihan Video Bantuan Pengadil (VAR) di Wisma FAM, Kelana Jaya baru-baru ini.

Untuk makluman, Zulkarnain digantung oleh FAM selepas menampilkan prestasi buruk ketika bertugas pada aksi Liga Super 2023 antara Penang menentang Sabah di Stadium Likas pada Mac lalu.

Zulkarnain Zakaria
Kelibat Zulkarnain Zakaria ketika fasa kedua latihan VAR di Wisma FAM

Selepas kelibat Zulkarnain dilihat ketika sesi latihan VAR, Setiausaha Agung Persatuan FAM, Datuk Noor Azman Rahman kemudiannya memberikan penjelasan mengenai situasi semasa pengadil itu.

“Zulkarnain Zakaria sudah menjalani penggantungan dekat setahun, dalam masa penggantungan tersebut, FAM sudah buat sesi kaunseling dan dia juga turut melakukan latihan kecergasan.

“Jawatankuasa Pengadil FAM memberi peluang untuk melepaskan penggantungan kerana mengambil kira bahawa dia merupakan seorang pengadil yang cukup pengalaman.

“Selepas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengadil, FAM memberi peluang kepada dia untuk mengadili liga-liga bawahan seperti Piala Presiden dan Piala Belia,” katanya menurut laporan Majoriti.

Sebelum ini, jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Dato’ S. Sivasundaram sebulat suara mendapati bahawa Zulkarnain telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti olehnya kepada pasukan Sabah pada minit 41 dan minit 90+9.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengadil FAM telah membuat keputusan untuk mengenakan hukuman penggantungan secara serta-merta kepada Zulkarnain Zakaria daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.

Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.

“Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan-perlawanan Liga Malaysia 2023 yang akan datang,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan FAM.