Liverpool beraksi di Anfield untuk aksi kedua, menjamu kunjungan Burnley.

Klopp menurunkan kembali Jordan Henderson dalam kesebelasan beliau selepas pemain itu cergas sepenuhnya.

Liverpool mendominasi perlawanan dari awal. Selepas beberapa siri serangan, Liverpool akhirnya di hadapan pada minit ke-18 menerusi Diogo Jota.

Di mana pemain antarabangsa Portugal yang berbadan kecil itu dengan liciknya menyambar hantaran lintan Kostas Tsimikas dalam kerumunan pertahanan Burnley yang fizikal.

jotad

Pada minit ke-26, Harvey Elliot menggunakan visi luar biasa untuk menghantar bola kepada Salah. Dan pemain antarabangsa Mesir itu menyempurnakan hantaran tersebut.

Tetapi gol itu dibatalkan kerana ofsaid.

Liverpool mencipta beberapa peluang lagi pada akhir babak namun tidak ada gol dihasilkan.

Bersambung babak kedua, Burnley tampil dengan lebih baik. Malah pada 10 minit pertama separuh masa kedua Burnley menguasai bola dengan lebih banyak berbanding Liverpool.

Burnley mendapat peluang keemasan apabila Ashley Barnes menyambar hantaran Lowton. Namun gol dibatalkan kerana ofsaid.

Melihat kepada dominasi Burnley, Liverpool mulai memperbaiki aksi dan mendapatkan semula rentak mereka.

Liverpool kemudian memaksa Burnley bertahan dengan kental. Sadio Mane menerima hantaran daripada Jota namun gagal melakukan percubaan lebih baik.

Seterusnya dua kali pertahanan Burnley dipaksa menghadang percubaan pemain Liverpool. Kostas Tsimikas terus memberikan ancaman menerusi hantaran lintangnya.

Pada minit ke-69, Liverpool akhirnya mendapat gol kedua mereka. Bermula daripada hantaran diagonal Van Dijk kepada Elliot, pemain muda itu menghantar kepada Trent Alexander Arnold yang menyungkit bola kepada Mane. Pemain antarabangsa Senegal itu melakukan voli deras menewaskan Nick Pope yang sudah beberapa kali menafikan percubaan Liverpool.

Liverpool kemudian memiliki satu lagi peluang keemasan menerusi hantaran daripada Mohamed Salah kepada Sadio Mane, namun pemain itu terlepas peluang gol di depan matanya.

Di babak babak akhir, Burnley cuba merapatkan jurang gol, tetapi Liverpool ternyata mampu mengelakkan diri mereka daripada bolos.

Dua kali Alisson melakukan penyelamatan hebat. Pertamanya menafikan percubaan Jay Rodriguez dan kedua adalah dengan menafikan percubaan jarak dekat Ashley Barnes.

Tamat perlawanan, Liverpool 2 Burnley 0.