Chelsea meranapkan rekod tanpa kalah Tottenham Hotspur pada aksi ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL) 2023/24 selepas berjaya menewaskan musuh tradisi tersebut 4-1, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Postecoglou Tak Mahu Spurs Berbelanja Besar Macam Chelsea
- Analisis: 5 Masalah Utama Chelsea Ketika Ini
- Pochettino Salahkan Pemain Chelsea Sendiri Yang Tak Berdisiplin Bukannya VAR
Terlalu banyak drama dapat disaksikan para peminat sepanjang perlawanan derbi London yang berlangsung di Tottenham Hotspur Stadium itu.
Ia jelas dibuktikan dengan dua kad merah diterima pemain tuan rumah, tiga jaringan Chelsea serta dua daripada Tottenham Hotspur yang dibatalkan.
Tottenham yang cemerlang pada 10 perlawanan awal terlebih dahulu berada dihadapan seawal minit keenam menerusi Dejan Kulusevski.
Jaringan itu terhasil selepas percubaan pemain sayap tersebut membias terkena Levi Colwill lalu membolosi gawang Chelsea yang dikawal Robert Sanchez.
Aksi semakin menarik ditampilkan selepas itu dengan kedua-dua pasukan memperagakan corak permainan pantas untuk mengubah kedudukan.
Jaringan yang diharapkan membuahkan hasil pada minit ke-13 tetapi Son Heung-min dikesan berada dalam keadaan ofsaid manakala gol Raheem Sterling pula tidak diiktiraf Video Assistant Referee (VAR) kerana terkena tangannya berselang lapan minit kemudian.
VAR terus menjadi masalah buat Chelsea apabila gol Moises Caicedo pada minit ke-28 turut dibatalkan kerana beliau ditangkap ofsaid.
Kemudiannya Chelsea mengambil kesempatan untuk membuat rujukan terhadap terjahan kasar Christian Romero ketika situasi yang sama.
Keputusan menyebelahi anak buah Mauricio Pochettino itu selepas Romero dilayangkan kad merah manakala Chelsea diberikan sepakan penalti.
Cole Palmer yang mengambil sepakan tidak berdepan masalah untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-35 meskipun Guglielmo Vicario sudah dapat membaca arah sepakan tersebut.
Dua minit kemudian, Chelsea berpeluang menambah gol kedua menerusi Nicolas Jackson tetapi Raheem Sterling yang melakukan hantaran lintang terlebih dahulu dikesan ofsaid.
Memasuki minit ke-55, Tottenham Hotspur terus dirundung malang selepas Destiny Udogie pula diperintahkan keluar padang kerana menerima kad kuning kedua.
Kesempatan beraksi dengan kelebihan dua orang pemain itu hampir digunakan sepenuhnya Chelsea, namun tandukan Jackson diselamatkan oleh pemain gantian, Pierre Emile-Hojberg di atas garisan gol berselang seminit kemudian.
Jackson menebus kesilapan itu pada minit ke-75 apabila beliau mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang rendah oleh Sterling bagi meletakan Chelsea dihadapan.
Eric Dier hampir kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-78 tetapi pemain pertahanan tersebut berada dalam kedudukan ofsaid susulan situasi sepakan percuma.
Ketika pertahanan Tottenham berterusan bermain di garisan tinggi, Chelsea mengambil kesempatan tersebut untuk mendapatkan dua jaringan mudah menerusi Jackson pada masa kecederaan yang sekali gus melengkapkan hatrik hatrik pertamanya bersama The Blues.
Dengan kekalahan sulung itu, skuad kendalian Ange Postecoglou jatuh satu anak tangga untuk berada ditangga kedua, kekurangan satu mata dibelakang pendahulu baharu, Manchester City yang mengumpul 27 mata.
Manakala Arsenal dan Liverpool terikat dengan 24 mata, namun The Gunners di kedudukan ketiga berikutan kelebihan defisit jaringan.