Chelsea terus berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 apabila mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Watford pada aksi ke-14 yang berlangsung di Vicarage Road, sebentar tadi.
Kemenangan ke-10 dilakarkan Chelsea itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah selepas pasukan tuan rumah memberikan tekanan hebat buat barisan pemain kendalian Thomas Tuchel tersebut.
Ia jelas dibuktikan apabila Watford mendapat peluang keemasan seawal minit kelima yang menyaksikan hantaran lintang cantik daripada Kiko Femenia terkena Cesar Azpilicueta dalam usahanya untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.
Bola yang menuju ke gawang Chelsea dengan cukup berbahaya itu bagaimanapun berjaya ditepis dengan baik penjaga gol, Edouard Mendy untuk menyelamatkan gawangnya dairpada dibolosi.
Ketika aksi memasuki minit ke-13, perlawanan terpaksa dihentikan hampir 30 minit selepas salah seorang penyokong mengalami serangan jantung dan memerlukan bantuan segera daripada pasukan kesihatan.
Perlawanan bersambung menyaksikan Chelsea hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-19 apabila rembatan Mason Mount dalam kawasan penalti singgah di tiang gol selepas beliau menerima hantaran Ruben Loftus-Cheek.
Kehampaan itu ditebus Mount berselang 10 minit kemudian setelah pemain tengah tersebut yang tidak dikawal dalam kawasan penalti berjaya menolak masuk bola menewaskan penjaga gol, Daniel Bachmann.
Kai Havertz berpeluang untuk menambah jaringan pada minit ke-32 tetapi jaringannya dibatalkan selepas beliau jelas berada di dalam kedudukan ofsaid sebelum menyudahkan peluang terhidang.
Kem tuan rumah melonjak kegembiraan pada minit ke-43 apabila Emmanuel Dennis menggunakan kelebihan dimiliki untuk mengawal bola dengan baik sekali gus melakukan percubaan rendah yang melepasi celah kaki Antonio Rudiger lalu berjaya membolosi Mendy untuk kembali menyamakan kedudukan.
Chelsea sekali lagi hampir dihukum dengan gerakan yang hampir sama beberapa minit kemudian tetapi rembatan jarak dekat Moussa Sissoko berjaya ditangkap kemas Mendy.
Jaringan kemenangan yang dinantikan Chelsea akhirnya menjelma pada minit ke-72 apabila sepakan kaki kiri pemain gantian, Hakim Ziyech susulan ‘cutback’ daripada Mount tidak mampu dihalang Bachmann.
Kemenangan sukar dicatatkan di gelanggang lawan itu menyaksikan Chelsea mengumpul 33 mata, berkelebihan satu mata di hadapan pencabar terdekat, Manchester City yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Aston Villa.
Sementara itu, Liverpool yang menewaskan musuh setempat, Everton pula menduduki tangga ketiga dengan 31 mata.