Jaringan tunggal Gabriel Jesus pada babak kedua membantu juara bertahan, Manchester City mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Chelsea pada aksi keenam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2021/22 yang berlangsung di Stamford Bridge, sebentar tadi.
Kejayaan meraih tiga mata penting itu juga menyaksikan skuad kendalian Pep Guardiola tersebut telah menghadiahkan kekalahan sulung buat Chelsea dalam kempen liga musim ini.
Segalanya jelas tidak menjadi buat Thomas Tuchel pada perlawanan ini apabila barisan anak buahnya gagal menjelmakan sebarang percubaan tepat ke arah pintu gol Manchester City yang dikawal Ederson Moraes.
Manakala, The Cityzens pula kelihatan lebih bertenaga dengan menguasai sebahagian besar permainan sebaik daripada wisel permulaan ditiup pengadil, Micheal Oliver.
Tiada sebarang percubaan tepat dapat disaksikan pada babak pertama dengan gerakan yang cuba dilancarkan Manchester City berjaya dipatahkan pertahanan tuan rumah.
Penguasaan berterusan Manchester City membuahkan hasil pada minit ke-53 apabila rembatan Jesus dalam kawasan penalti yang membias terkena pertahanan Chelsea tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Edouard Mendy.
Jaringan itu nyata menyemarakkan lagi api perjuangan skuad pelawat yang kemudiannya hampir mengukuhkan kedudukan ketika perlawanan memasuki minit ke-58 menerusi Jack Grealish. Percubaan leret pemain skuad kebangsaan England itu dalam kawasan penalti bagaimanapun berjaya ditepis keluar Mendy bagi mengelakkan gawangnya terus dibolosi.
Berselang tiga minit kemudian, Jesus pula mendapat peluang keemasan tetapi percubaannya ketika Mendy sudah pun tertewas berjaya dihalang di atas garisan gol oleh Thiago Silva.
Usaha Chelsea untuk sekurang-kurangnya mengikat kedudukan tidak berhasil untuk memaksa mereka melangkah keluar padang dengan kekalahan pertama musim ini.