England tidak berdepan masalah untuk melangkah ke suku akhir selepas berjaya menundukkan wakil Afrika, Senegal 3-0 pada aksi pusingan 16 Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Al Bayt Stadium, Qatar sebentar tadi.
Baca Juga:
- England vs Wales: Rashford Dan Foden Sahkan Tiket 16 Akhir Untuk Three Lions
- England vs USA: Three Lions Melepaskan Peluang Untuk Mara Lebih Awal
- England vs Iran: Three Lions Terlalu Unggul Raih Kemenangan 6-2
Kemenangan penting tersebut sekali gus mengesahkan pertemuan getir skuad The Three Lions itu dengan juara bertahan, Perancis di peringkat seterusnya.
England bagaimanapun tidak bermula dengan baik kerana Senegal lebih kelihatan berbahaya walaupun anak buah Gareth Southgate itu menguasai permainan.
Ia jelas dibuktikan apabila juara Afrika tersebut mendapat dua peluang keemasan pada minit ke-22 dan 32 bagi membuka tirai jaringan berikutan kealpaan Harry Maguire dan Bukayo Saka.
Namun, percubaan jarak dekat dilakukan Ismaila Sarr sekadar melewati palang gol manakala rembatan Boulaye Dia pula cemerlang diselamatkan oleh penjaga gol, Jordan Pickford.
Enggan terus ditekan lawan, pemain England tampil dengan lebih baik selepas itu dimana usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-38 menerusi pemain tengah, Jordan Henderson.
Berpunca daripada lorongan baik Harry Kane mencari Jude Bellingham, pemain berusia 19 tahun itu kemudiannya melakukan hantaran lintang rendah daripada sebelah kanan pintu gol Senegal kepada Henderson yang tidak mensia-siakan peluang tersebut untuk menolak masuk bola bagi memberikan kelebihan buat England.
Seperti kebiasaan selepas mendapatkan jaringan pembukaan, England terus menggandakan asakan untuk menambah jaringan dan ia hampir membuahkan hasil berselang tiga minit kemudian.
Percubaan Kane selepas menerima umpanan Saka bagaimanapun sekadar melewati palang gol. Namun, Kane menebus kembali kesilapan tersebut dengan jaringan kedua pada masa kecederaan babak pertama.
Gol itu terhasil susulan serangan balas pantas dimulakan Bellingham beri ruang untuk Foden lakukan hantaran lintang kepada Kane yang kemudiannya melakukan rembatan padu dalam kawasan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Tidak cukup dengan itu, Saka mengukuhkan kedudukan pada minit ke-57 selepas beliau yang berada dalam kawasan penalti mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang berkualiti daripada Foden bagi memperdayakan penjaga gol, Edouard Mendy.
Kedudukan 3-0 itu kekal hingga tamat permainan walaupun England terus menguasai permainan dan berusaha untuk menambah jaringan manakala Senegal pula sesekali mengintai peluang merobek gawang Three Lions.