Baru-baru ini, penyerang muda skuad kebangsaan, Luqman Hakim sah menyertai kelab Liga Iceland, Njardvik FC dan pemain itu sudah mula menjalani sesi latihan bersama kelab baharunya.
Baca Juga:
- Luqman Hakim Jalani Sesi Latihan Pertama Bersama Njardvik FC
- Datuk Zainal Abidin Hassan Beri Nasihat Kepada Luqman Hakim
- Luqman Hakim Sertai Kelab Iceland Secara Pinjaman
Dalam satu temu bual eksklusif bersama Vocket FC, pemain berusia 20 tahun itu berkongsi keadaan semasa beliau di Iceland dan faktor utama mengapa beliau setuju untuk menyertai Njardvik secara pinjaman bagi menghadapi musim 2023.
Soalan: Bolehkah Luqman Hakim kongsikan perkembangan terkini sepanjang berada di Iceland?
Luqman: “Sudah empat hari saya berada di sini. Latihan pertama bersama kelab setakat ini ok dimana kami menjalani latihan di luar dan cuaca agak sejuk. Pada hari kedua kami menjalani indoor training. Setakat ini alhamdulillah saya selesa dan gembira berada di sini.
“Dari segi cuaca, di sini memang berada di tahap negatif. Saya rasa sama seperti cuaca di Belgium tetapi di sini negatif dua atau tiga bersalji. Sesi latihan pertama agak sejuk kerana angin dimana saya dimaklumkan sepanjang minggu ini, kebanyakkan tempat di Iceland berangin.
Sesi latihan pertama Luqman di Iceland 🥶 pic.twitter.com/7Fowi0J8nz
— VOCKET FC (@vocketfc) February 9, 2023
Soalan: Apa yang menjadi faktor utama Luqman setuju untuk beraksi di Liga Iceland secara pinjaman dari KV Kortrijk?
Luqman: “Ini adalah pilihan saya untuk datang ke sini. Selain itu saya mahu dapatkan lebih banyak minit permainan. In Sha Allah saya akan buat yang terbaik di sini. Saya kena faham dahulu taktikal yang diterapkan oleh jurulatih.
“Jurulatih ada beritahu saya bahawa saya perlu mengambil masa untuk memahami taktikal dan perkara lain berkenaan kelab kerana baru datang ke sini. Rakan sepasukan memberitahu saya bahawa liga di sini agak fizikal serta pantas. Tetapi bagi saya berbeza dengan Liga Belgium.
Soalan: Setelah beberapa musim beraksi bersama KV Kortrijk, mungkin Luqman boleh berkongsi pandangan peribadi Luqman sepanjang berada di sana.
Luqman: “Bagi saya skuad B-21 Tahun dan skuad senior sangat berbeza. Di Kortrijk, saya berpendapat di sana sememangnya berada di tahap lain. Saya suka dengan suasana di sana dan juga ketika sesi latihan.
“Liga Belgium adalah satu liga yang pantas. Kita tak sempat nak turn, sudah ada pemain lawan yang sampai di depan kita. Mungkin ada yang mengatakan liga di sini sama seperti liga di Asia. Di sini saya nak katakan, kita perlu membuka minda orang di Malaysia. Bagaimana perbezaan liga di Eropah dengan Asia mahupun Asean. Bukan mudah untuk bermain dan menjalani latihan di sini.
Soalan: Mungkin Luqman Hakim boleh kongsikan misi Luqman bersama Njardvik
Luqman: Saya datang ke sini sebagai satu persinggahan untuk melangkah ke tahap seterusnya pada tahun hadapan. Kalau saya dapat minit bermain yang cukup di sini, ia akan menjadi jalan mudah untuk saya pergi ke pasukan lain ataupun kekal di Kortrijk. Saya datang ke sini kerana pilihan saya sendiri.
“Mungkin ada yang berkata datang ke Iceland kerana tiada pilihan lain. Saya tegaskan sebelum ini saya ada dua pilihan. Ada satu kelab daripada divisyen pertama Lithuania berminat nak dapatkan saya. Perjanjian dengan mereka hampir selesai tetapi tidak dapat diteruskan kerana kelab itu mempunyai masalah kewangan.
“Jurulatih Njardvik pun berminat dengan saya. Jadi apa salahnya saya datang ke sini dan memberikan 100 peratus untuk kelab ini. Walaupun ini adalah satu jalan sukar terutamanya dengan cuaca, bagi saya ia bukan masalah.
Soalan: Bolehkah Luqman kongsikan apa langkah seterusnya sekiranya Luqman kekal bersama Kortrijk?
Luqman: Saya nak menjaringkan gol di Njardvik untuk memberikan kesenangan kepada saya sekiranya kembali ke Kortrijk. Kita lihat sama ada jurulatih di sana masih berminat dengan saya. Jika tidak, saya mungkin akan berhijrah ke pasukan lain. Tetapi hati saya masih lagi mahu bermain di Kortrijk. Saya nak bermain banyak perlawanan bersama mereka.
Soalan: Jadi boleh kita simpulkan, anda masih lagi mahu kekal di Eropah untuk jangka masa panjang?
Luqman: Ya. Saya masih mempunyai baki kontrak selama dua musim. Saya mahu habiskan kontrak saya bersama Kortrijk dan selepas itu kita lihat sama ada kekal ataupun tidak. Niat saya selepas habis kontrak bersama Kortrijk, saya mahu kekal semusim lagi di Eropah dan kemudiannya beraksi di Asia.