Pengendali skuad B-23 Tahun negara, E.Elavarasan gembira pasukannya berjaya menewaskan Bangladesh pada aksi pembukaan kumpulan H kelayakan Piala AFC B-23 Tahun.

Dua gol pada lewat separuh masa kedua dari Aliff Izwan dan Fergus Tierney sudah cukup untuk memberikan tiga mata buat pasukan negara sekaligus memulakan kempen kelayakan dengan langkah kanan.

Selepas perlawanan, Elavarasan menegaskan beliau berpuas hati kerana pasukan negara meraih kemenangan.

“Apa yang paling penting ialah kami meraih kemenangan dan mendapat tiga mata. Secara keseluruhan, kami gembira dengan kemenangan ini. Kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya.

“Semua bekerja sebagai satu pasukan. Itu yang paling penting kerana pada separuh masa pertama kedudukan terikat 0-0. Perlawanan tadi (semalam) adalah sukar untuk kita. Saya ucapkan tahniah kepada semua kerana beraksi sebagai satu unit,” kata E.Elavarasan ketika sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan semalam, Malaysia sepatutnya memperolehi dua gol di separuh masa pertama namun kedua-dua jaringan Alif Ikmalrizal dibatalkan oleh pengadil kerana didakwa mengasari lawan serta berada dalam kedudukan ‘offside’.

Malah, Bangladesh juga bertahan dengan baik sehingga memberi kesukaran kepada jentera tengah negara untuk mengaturkan serangan ke pintu gol.

Selepas menentang Bangladesh, mereka dijadualkan bertemu Filipina pada Sabtu, 9 September 2023 (5.30 petang waktu Malaysia) dan tuan rumah, Thailand pada Selasa, 12 September 2023 (9.30 malam waktu Malaysia), dengan kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Chonburi.

16 pasukan terdiri daripada 11 pasukan juara kumpulan dalam saingan kelayakan (Kumpulan A hingga K) bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik dan tuan rumah, Qatar akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.