Skuad Melaka United akhirnya raih kemenangan pertama dalam saingan Liga Super musim ini apabila menewaskan Kuala Lumpur City, 2-1 di Stadium Hang Jebat sebentar tadi.
Mereka ibarat seperti dapat semula 3 mata penuh yang telah dipotong oleh badan bebas semalam gara-gara kerana kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji yang melibatkan pemain pada musim lepas.
Dalam perlawanan itu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dan tidak banyak percubaan berbahaya dapat dilakukan kerana penyudah yang tumpul.
Memasuki babak kedua, rentak permainan Melaka bertukar lebih garang dan mereka mengandakan asakan ke kubu pasukan lawan. Usaha mereka akhirnya membuahkan hasil apabila dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke 50.
Sepakan penalti itu diberikan selepas penyerang Melaka, Alex Goncalves dikasari oleh pemain pertahanan lawan, Giancarlo Gallifuoco. Alex kemudian menyempurnakan sepakan penalti untuk gol pertama Melaka.
Jaringan tersebut membangkitkan semangat tuan rumah untuk terus memburu gol kedua untuk memastikan keputusan seri tidak berulang lagi selepas 4 perlawanan berturut-turut.
Tuah memihak kepada Melaka apabila mereka sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti kerana bola rembatan Hasbullah Abu Bakar terkena tangan Indra Putra Mahayudin pada minit ke 79.
Alex Goncalves menjaringkan gol kedua tuan rumah selepas menyempurnakan satu lagi sepakan penalti. Tersentak dengan jaringan itu, Kuala Lumpur bangkit mengatur gerakan dan mereka sempat menjaringkan gol pertama pada minit 89 menerusi rembatan cantik Zhafri Yahya.
Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa kedua sekaligus menghadiahkan 3 mata yang pertama untuk pasukan Melaka United.