Pemain pertahanan negara yang beraksi dalam saingan Liga Denmark, Dion Johan Cools mungkin dipanggil bagi memperkuatkan skuad kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020 yang akan bermula pada 5 Disember ini.
Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Wan Muiz dimana pengurus skuad kebangsaan, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan Dion mungkin diturunkan bermula pada aksi ketiga peringkat kumpulan.
Pemain Midtjylland, Dion Cools dijangka sertai skuad Harimau Malaya bagi Piala AFF Suzuki pada perlawanan ketiga bagi aksi kumpulan @ASTROARENA pic.twitter.com/BOZjLkp8Id
— wan muiz (@muiz_aziz07) November 11, 2021
Pada perlawanan ketiga peringkat kumpulan B, Malaysia akan bertemu juara bertahan iaitu Vietnam dan Dion berkemungkinan besar bakal diturunkan dalam perlawanan ini bagi mengukuhkan benteng pertahanan negara.
Pemain kacukan Malaysia-Belgium itu kali pertama beraksi bersama Harimau Malaya ketika perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun lalu.
Dion Johan Cools beraksi dalam tiga perlawanan menentang UAE, Vietnam dan Thailand dimana beliau dianggap menampilkan prestasi yang baik meskipun baru beraksi bersama pasukan negara.
Pemain berusia 25 tahun itu sepatutnya beraksi bersama skuad kebangsaan pada dua aksi persahabatan menentang Jordan dan Uzbekistan namun beliau terpaksa menarik diri ekoran masih berada dalam tempoh pemulihan ekoran kecederaan yang dialami ketika beraksi bersama FC Midtjylland.
Sampai saat ini, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe masih belum mengumumkan barisan pemain yang akan dibawa ke Singapura bagi membawa cabaran pasukan negara.
Malaysia akan membuka tirai perlawanan peringkat kumpulan B menentang Kemboja pada 6 Disember diikuti dengan aksi kedua menentang Laos pada 9 Disember.
Perlawanan ketiga menyaksikan pasukan negara akan turun menentang Vietnam pada 12 Disember sebelum aksi terakhir menentang seteru utama iaitu Indonesia pada 19 Disember. Kesemua perlawanan akan berlangsung di Stadium Bishan.
Pada saingan edisi 2018, Malaysia muncul sebagai naib juara setelah tewas kepada Vietnam dengan keputusan 3-2 secara agregat. Aksi pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil berakhir dengan keputusan seri 2-2 namun pasukan negara tewas dengan keputusan 1-0 pada aksi kedua di Stadium My Dinh.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini: